Friday, April 17, 2009

KENANGAN LALU.... UTEH....DALAM KENANGAN

Sudah lama aku tak menulis, lantaran malas dan sibuk. Nak tergelak juga bila dengar komen suamiku yang blog aku dah bersawang. Walaubagaimanapun kali ini aku terpanggil untuk mencoret sebuah kenangan lama yang sukar dilupakan. Namun kerana Uteh aku kuatkan semangat untuk mengungkap semula nostalgia itu.

Hari Khamis 9/4/2009 aku tergamam bila mendapat berita pilu tentang seorang kawan lamaku yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Madinah. Bagai tak percaya dan tak menyangka sama sekali berita kemalangan itu yang dilaporkan di TV oleh Dato Zahid Hamidi pada malam sebelumnya melibatkan kawanku Allahyarhamah Rozita Jamaluddin.

Aku mengenali Allahyarhamah pada tahun 1984, semasa aku melanjutkan pelajaran dalam bidang electrical di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Kami ditempatkan di kelas yang sama dan secara kebetulan bilik asrama kami bersebelahan. Bilik kami terletak di tingkat 4 blok apa aku dah lupa. Bermula dari sama-sama berjalan kaki menghadiri orientasi dan kuliah mahupun ke Dewan Makan, hubungan penghuni 3 bilik bersebelahan terus menjadi rapat. Akhirnya terbentuklah sebuah 'keluarga' kecil atas dasar suka-suka.

Untuk lebih mesra, kami mempunyai gelaran masing2. Aku dipanggil Angah, kawan sebilikku di gelar Along (nama sebenar Sarina), Allahyarham senang dipanggil 'Uteh' (bersesuaian dengan dirinya yang puteh melepak) tinggal sebilik dengan Alang (nama sebenar Haslina, nama pendeknya, Ana). Disebelah bilik Uteh dan Alang, tinggal Achik (nama sebenar sangat glamour Ratna Sari Dewi) dan Usu (nama sebenar Faridah or Farid, dia ni tomboy sikit tapi sangat manja orangnya). Kemudian Yong, rakan sekelas kami (nama sebenar Nur Fahimah) pula join kami, tapi aku dah lupa dia dari bilik mana.

Sejak itu hubungan kami menjadi rapat seperti adik beradik. Kami selalu study bersama-sama di koridor bila lampu ditutup pada pukul 11.00 malam, ataupun di dalam salah satu bilik dengan bercahayakan lilin. Selalunya bilik Uteh dan Alang menjadi tempat lepak kami sebab biliknya terletak di tengah-tengah. Pada hujung minggu, kami pun selalu ronda-ronda bandar Ipoh, window shopping dengan riuh-rendahnya.

Keluarga kami mempunyai bermacam-macam karekter, aku biasa-biasa saja... agak pemalu kut. Along pulak agak 'blurr' sikit.. 'lambat tangkap'. Arwah Uteh periang dan cool...masih terdengar gelak tawanya, Alang tegap dan cergas, Achik agak kalut dan emosional, Usu pula amat manja sementara Yong pulak amat peramah.

Ini menjadikan hubungan kami mesra dan akrab. Bila boring or nak release tension, kami pergi melepak minum ais kacang (ABC) kat Taman Cempaka . Masih aku ingat lagi bunyi siulan pelajar lelaki sewaktu kami berbasikal melalui blok asrama mereka... malu jugak rasanya sebab aku terpaksa membonceng basikal Alang sebab aku dah lupa macamana nak menunggang basikal.

Masa melepak ni selalu jugak sepupu Alang iaitu Ayi (nama sebenar Sharifuddin) dan groupnya join kita orang. Jadi keluarga kami bertambah besar dengan tambahan Ayi, Abang Wan (lupa pulak nama sebenarnya) dan Uda (Adnan). Kecuali Uda yang ambil Mekanikal, Ayi, Achik, Abang Wan dan Usu ambil kursus yang sama iaitu Civil Engineering, sementara aku, along, alang dan Yong buat elektrical.

Oleh kerana aku memang tak berapa minat pada subjek Matematik, aku merasakan kursus yang aku ambil amat berat bagi ku. Aku mencuba nasib aku memohon untuk memasuki ITM untuk kemasukan bulan Januari. Aku akhirnya ditawarkan ke ITM Perak di Seri Manjung dalam bidang perakaunan (juga satu bidang yang asing bagi ku kerana aku dari aliran sains). Walaupun pahit, kami terpaksa berpisah. Sedihnya tak tahu nak cakap.

Namun begitu, hubungan kami tak putus. Kadang-kadang, sebelum balik ke kampung aku singgah ke rumah sewa dia orang di Taman Cempaka. Kalau tak silap aku, pelajar Poli hanya tinggal di asrama pada semester pertama sahaja. Yong, Achik, Usu dan Uteh tinggal di rumah yang sama. Along aku tak ingat, sementara Alang pulak memilih untuk menjadi cikgi dengan memasuki UPSI di Tanjung Malim, pengkhususan bahasa Inggeris kalau tak silap aku..pooh English dia memang 'berhabuk' you!!

Walaupun kami memilih haluan hidup masing-masing tapi kami masih berhubungan. Aku ingat lagi bila aku dan Uteh menemani Yong yang resah pada malam menjelang perkahwinannya dengan warga Singapura di Kg. Tg. Belanja, Parit. Sebenarnya, selepas menamatkan pengajiannya di Poli, Yong terus saja menikah dan menjadi surirumah sepenuh masa dan menetap di Johor Bharu, cuma baru minggu lepas aku dapat tahu bahawa Yong sekarang ni menjadi pengusaha bas sekolah. Aku dengan Yong terputus hubungan agak lama sehinggalah minggu lepas kami berhubungan semula. Mujur Yong tak tukar no telefon rumahnya walaupun dah lama sangat aku tak contact dia. Yong pernah singgah di Bidor sekali masa Dhania anakku yang sulung masih kecil.

Aku juga menghadiri perkahwinan Alang di Bagan Serai, rasanya dengan Yong, tapi kami tak sempat nak jumpa suami Alang sebab dia sampai lewat. Kalau tak silap aku kami balik lebihkurang pukul 4 petang, dia tak sampai-sampai lagi. Masa kahwin Achik pun, aku dan suami pergi jugak di Taman Beringin, Kepong. Di situ, aku jumpa Uteh dan suaminya. Masa tu dia orang belum kahwin lagi. Aku sendiripun baru saja berumah tangga. Sedih jugak rasanya, masa aku kahwin rasanya takde sorang pun 'keluarga' aku ni datang, cuma kawan-kawan ITM yang datang.

Setelah berkeluarga kami terputus hubungan sekali lagi. Entah macam-mana pada tahun 2000 kut, kami berhubung semula. Kalau tak silap aku, Ayi yang contact dulu. Dari situ kami reunite semula di rumah Abang Wan kat Meru, Klang. Riuh rendah rumah Abang Wan dengan keluarga aku, Uteh, Ayi, Achik dan Along yang masih solo sampai laa ni. Masa tu Arwah Uteh dan suami baru saja balik dari mengerjakan haji.

Masa Usu dan family turun KL, kami bertemu lagi di Sunway Pyramid. Terima kasih di atas kerajinan Ayi mengaturkan reunion, walaupun tak semua dapat berkumpul tapi kami gembira sangat. Masa aku buat open house, cuma Ayi dengan Abang Wan saja yang datang. Ayi pun ada bawak Alang datang ke rumah aku masa Alang berkursus di KL, Abang Wan dan Udapun datang sekali. Aku pun pernah bertemu dengan Usu dan Along masa aku dan family bercuti di Penang 4 - 5 tahun dulu. Dengan Achik pulak payah sikit, nombor handphonenya asyik bertukar. So jarang dapat contact dia. Namun begitu aku selalu jugak berborak dengan arwah especially bila aku mengantuk kat ofis. Aku suka call dia sebab dia selalu ada di rumah, suri rumah sepenuh masalah katakan. Walaupun Shah Alam dan Bangi agak dekat, tapi tak pernah berjumpa, cuma ada sekali tu keluarga kami pernah terserempak di Alamanda, Putrajaya. Masa tu anaknya yang bongsu tu dalam 2 tahun kut.

Aku masih ingat lagi, kali terakhir kami berhubungan ialah pada 2/3/09. Ini disebabkan email dari Ayi yang buat rancangan nak pergi ke rumah Alang di Grik pada 7 & 8/3/09 . Aku contact Arwah Uteh samada dia tahu tak pasal tu. Arwah pun terkejut jugak, almaklumlah masa dah suntuk sangat. Rupa-rupanya Ayi main-main saja...bertuah punya 'bapak budak'. Itulah kali terakhir kami bersembang, masa tu dia tak ceritapun yang dia nak pergi Umrah.

Walaupun aku mengenali Arwah Uteh secara dekat hanya dalam masa 6 bulan, aku dapat menyimpulkan bahawa beliau merupakan seorang sahabat yang baik, seorang yang periang dan tenang, kalau tak silap aku, dia memang tak pandai marah orang, kalau dia marah, dia akan meluahkan kemarahannya dengan tangisan sahaja. Dia juga suka menolong orang. Oleh kerana itulah kami amat terasa kehilangannya.

Mungkin kerana sifat2 tersebut Allah lebih menyanyanginya sehingga menjemput beliau di Tanah Suci tempat wafatnya kekasih Allah iaitu Rasullullah S.A.W. Aku pernah diberitahu oleh Arwah Ustazah Sharifah , guru aku belajar tajwid (yang juga meninggal dunia di Madinah) bahawa pada hari Qiamat nanti Rasullullah akan dibangkitkan dahulu bersama orang-orang yang meninggal dunia di Madinah. Alangkah mulianya.

Memang betullah tanggapan bahawa setiap kejadian itu ada hikmahnya. Sebenarnya, selepas hari raya puasa tahun sudah kami tak berhubungan. Entah macamana dalam bulan January ketika aku dalam perjalanan ke kampung suamiku di Pahang, aku mendapat kiriman SMS dari Arwah bertanyakan samada aku free nak bersembang. Esoknya, baru aku contact dia dari kampung. Rupa-rupanya dia ingin bercerita dan bertanyakan pendapatku tentang salah seorang dari kami sedang menghadapi masalah peribadi. Perkara ini amat mengejutkan kami dan tidak kami sangka sama sekali. Khabarnya disebabkan perkara ini beliau telah menghubungi hampir semua keluarga kami. Walaupun kami tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut tetapi kami telah berhubung semula, secara tidak langsung kami menjadi rapat semula.

Oleh kerana kami tak tau nak buat macamana, aku, arwah Uteh, Usu dan Achik bersetuju nak buat reunion semula dalam waktu terdekat. Yang membuat aku rasa terkilan, aku telah meminta dia menangguhkan reunion tersebut sehingga selepas bulan Mac sebab pada setiap 3 bulan yang pertama tiap-tiap tahun aku tersangatlah busy dengan kerja2 ofis ku. Aku hanya boleh bernafas lega pada bulan April dan seterusnya.

Nampaknya hajat kami tak kesampaian. Allah telah mentakdirkan Uteh pergi dulu. Aku baru saja nak buat plan tentang reunion tersebut, tiba-tiba aku dikejutkan dengan berita pilu ini. Itu yang membuat aku tergamam sangat sehingga hari Khamis tu aku rasa lemah longlai dan rasa nak demam. Semua orang dihubungi nyata macam tak percaya berita ini. Aku hanya dapat menerima kenyataan bila aku menghubungi Yong di JB yang telah bercakap sendiri dengan suami Uteh yang telah mengesahkan perkara ini. Khabarnya hari Khamis itu mereka sekeluarga berangkat ke Madinah untuk urusan pengebumian. Akhirnya, melalui akhbar Harian Metro, kami dapat tahu jenazah disemadikan di perkuburan Baqi' selepas solat Jumaat.

Alhamdullillah, dapat dibayangkan berapa ramai jemaah yang mensolatkan jenazahnya. Sesungguhnya kami redha apa yang terjadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang solehah.

Selama hari ini pun aku merasakan beliau merupakan seorang isteri yang solehah dan ibu mithali kerana beliau melakukan semua kerja rumah tanpa pembantu. Tahun ini sahaja, arwah sibuk dengan routine mingguannya, menjenguk anak keduanya yang masuk sekolah asrama di Putrajaya, sanggup pergi mengambil pakaian kotor pada hari Jumaat dan menghantar semula pakaian yang siap digosok pada hari Ahad. Begitulah dia, sabar melayani kerenah suami dan anak2nya.

Beliau juga pernah diuji hebat oleh Allah apabila menderita kurus kering terlantar di hospital hampir setahun akibat menghidap penyakit TB (ikut istilah perubatanlah) sewaktu anak sulungnya masih bayi. Tapi menurut pakar alternative beliau telah terkena santau. Dan arwah juga hampir kehilangan nyawa disebabkan 'tumpah darah' sewaktu melahirkan anak bongsunya.

Inilah sedikit catatan kenangan buat Arwah dan kami semua. Ini sahaja yang mampu aku buat pada saat ini. Memandangkan Usu dan Along nun jauh di Penang, Alang pula di Grik dan Yong kini menetap di JB, kami memilih cuti sekolah ini untuk melawat family arwah. InsyaAllah kami akan buat reunion juga sebagai memenuhi hasratnya.

Kepada suami Arwah dan anak2, kami harap anda sekeluarga redha dengan taqdir ini. Harap-harap anda bersabar dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun agak susah setelah kehilangan seorang 'Pengurus' yang setia. Biarpun dia telah tiada tetapi dia tetap di hati kita.

Berita yang terbaru diperolehi dari Yong, 2 - 3 hari yang lepas, suami dan anak2nya dapat turut serta memandikan, mengkafankan serta menyambut jenazahnya di liang lahat. Alhamdullillah, sesungguhnya sudah jelas betapa sayangnya Allah kepadanya sehingga mengizinkan ianya berlaku kerana jika dilihat pada jarak dan waktu serta kos mungkin ianya agak mustahil. Sekurang-kurangnya mereka lebih redha menerima taqdir ini. Gembira rasanya bila dengar komen anak2 beliau... "Muka Mama macam baby" sebelum jenazah dikebumikan. Khabarnya keadaan jenazah tidak ada cacat-celanya dan punca kematian adalah disebabkan kecederaaan dalaman sahaja.

Ya Allah Ya Tuhankan kau tempatkan Allahyarhamah Uteh Rozita Jamaluddin bersama orang-orang yang beriman, para solehah dan para ambia. Limpahkanlah rahmatMu ke atas rohnya dan Engkau kurniakan kesabaran dan ketenangan kepada ahli keluarganya agar mereka dapat meneruskan kehidupan mereka dengan aman dan bahagia.

Amin Ya Raabal Alamin.