Sunday, July 19, 2009

Selamat Ulang Tahun ... Anakku


Tarikh 18/ 7/ 1997, iaitu 12 tahun nan lalu, aku baru saja merasa lega selepas bertarung nyawa melahirkan Angah, anakku yang ke dua. Mana tidaknya..puas kami menunggu namun tiada tanda-tanda akan melahirkan sehingga melewati tarikh jangkaan kelahiran. Akhirnya dalam debaran, aku terpaksa di induce juga.

Bermula dari tengahari membawa ke malam sehinggalah pukul 9.58 malam barulah terdengar suara tangisan Angah. Alhamdulillah aku berjaya melahirkan Angah secara normal walaupun saiz nya agak besar 4.25 kg, the biggest in the family dan comel giler. Ini mungkin disebabkan kerajinan ayahnya menghantar nasi lemak tiap-tiap pagi ke ofis selepas dia sendiri bersarapan. Geramnya aku bila melihat dirinya yang debab dan putih melepak.

Syukur Alhamdullillah, Angah kini telah membesar menjadi anak manis yang pintar, amat kreatif dan agak sensitif serta sangat pemalu orangnya. Ha..ha.. mungkin dia banyak mewarisi sikapku yang suka low profile. Walaubagaimanapun dia tak sechubby dulu lagi.

Sesungguhnya Ya Allah aku amat bersyukur di atas kurniaanMu ini. Dia adalah di antara permata hati kami suami isteri. Kau bantulah kami dan berilah kami kekuatan untuk menggilap dirinya menjadi insan yang sempurna.

Kapada Nur Dalila @ Angah, mak amat berharap agar Angah dapat menjadi anak yang sollehah dan menjadi insan yang terbaik dunia dan akhirat. Jadilah diri Angah sendiri, jangan terlampau fikirkan kawan-kawan yang tak menyenangi diri kita hanya kerana kita agak pandai dari mereka. Tenangkan fikiran, jangan gelabah dan Mak percaya berkat usaha keras Angah sekarang, Angah akan dapat 5 A dalam UPSR nanti.

Mak juga berharap agar Angah dapat menerima segala teguran Mak dengan positif. Jadilah contoh yang terbaik kepada adik-adik. Sayangilah mereka sepenuh hati dan kalau nak bergurau biarlah berpada-pada. Sesungguhnya Mak amat menyayangi Angah, tiada bezanya dengan yang lain dan sekiranya diizinkan Allah, Mak ingin melihat Angah berjaya dalam hidup ini.

sELAMAT uLANG TAHUN sAYANG!!!

Sunday, July 12, 2009

REUNION yang MENJADI

Alhamdullilah reunion pada 4 Julai 2009 dapat mengumpulkan lebihkurang 43 orang pioneer ITM Perak dari 5 kursus iaitu DIA, DBS, DIB, DSS & DPA. Kalau pada blog terdahulu, aku telah menceritakan tentang betapa berdebarnya aku untuk bertemu semula dengan kawan-kawan sekian lama terpisah, namun kata-kata Aby memberi aku semangat untuk turut serta. Akhirnya kami berkumpul semula di Aichu Wangsa Maju dengan pelbagai rupa dan anekaragam.

Setelah 23 tahun terpisah, hampir semuanya telah berkeluarga maka tentulah penampilanpun berubah seiring dengan masa. Yang dulunya kurus cikeding dah terlebih berisi. Yang dulu macho dengan rambut yang pelbagai gaya dah semakin sulah dahinya, ada juga yang dah ala-ala 'mat saleh' gitu. Yang dulunya handsome bermisai sampai digelar Tom Selleck dah tak simpan misai tetapi yang dulunya dagunya bersih licin dah berjanggut sampai ke dada...ikut sunnah katanya. Tetapi yang untungnya orang perempuan kerana tak banyak sangat berbeza kecuali dari segi saiz kerana segalanya terrahsia dibalik tudung. Namun begitu, aku tabik spring kepada yang masih maintain macam dulu.

Sesungguhnya pertemuan kali ini memang lain dari yang lain. Mereka yang dulunya tak pernah bertegur sapa atau malu-malu kucing sudah boleh berbicara dengan agak mesra, tak kira lelaki mahupun perempuan biarpun dari kursus yang berlainan. Nampaknya masa telah mendewasakan kita dan mungkin juga alam pekerjaan telah memudahkan kita untuk berinteraksi dengan orang lain tanpa apa-apa halangan. Ataupun mungkin juga perbualan di alam siber sedikit sebanyak telah mewujudkan sedikit kemesraan.

Suasana begitu ceria dan meriah, apalagi bila semua orang teringat kisah lama yang terus menjadi nostalgia yang mungkin tidak dapat dilupakan. Banyak juga rahsia yang terbongkar. Tak kurang juga yang saling bertukar maklumat semasa untuk tambah 'networking' katanya.

Memanglah masa 3 jam yang diperuntukkan amatlah tidak mencukupi. Namun pertemuan ini merupakan satu detik permulaan yang dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan kami kerana kami merupakan pioneer yang sama-sama menyimpan kenangan pahit dan lucu kerana di ragging untuk menyapu jalan di tengah malam buta, pukul 2-3 pagi tak silap aku. Itulah kenangan terindah di minggu pertama kami menjejakkan kami di kampus ini.

Sesungguhnya kami berharap dapat berkumpul semula dalam masa yang terdekat ini dan kami sedang berusaha untuk mengumpulkan lebih ramai kawan-kawan sekampus yang kini berada diserata Malaysia ini. Ada juga yang bercadang untuk menubuhkan koperasi Satu idea yang bagus, apatahlagi ramai yang dah menjadi orang bijak pandai serta mempunyai kedudukan yang kukuh. Semoga Allah merestui usaha kami ini untuk mengeratkan silaturahim antara kami.

Amin..Ya Rabbal A'lamin.

Thursday, July 2, 2009

REUNION...

Bila bercakap tentang reunion, aku selalu berdebar. Reunion ni selalu dibuat setelah beberapa lama terpisah. Memang bagus di adakan reunion ini supaya ikatan persahabatan dapat terus dijalinkan. Bak kata Abang Aziz Desa dalam segmen Jejak Kasih yang popular suatu ketika dahulu. "Yang jauh kita dekatkan... Yang dekat kita mesra-mesrakan...Yang mesra kita serasi-serasikan". Chewahhh.

Sebenarnya aku telah beberapa kali diajak untuk reunion kecil-kecilan untuk kelas DIA ITM Manjung (Pioneer 1985 - 1987). Namun faktor masa yang kurang sesuai dan lokasi yang agak jauh , mengekang aku untuk join sekali. Almaklumlah, selalunya dia orang ajak masa dinner dan kat KL pulak tu. Jadi camno den nak poii (loghat nogoghi lah pulak). Ada sekali tu, masa aku dalam pantang anak ke empat, jadi memang confirm aku tak boleh pergi. Nak tak nak... kena tahan telinga bila kena kutuk dengan kengkawan.

Sebenarnya memang aku teringin nak jumpa class-mate lama ni. Aku memang punya beberapa set kengkawan yang berlainan. Firstly mestilah kawan sepersekolahan di Bidor dari darjah satu sampai tingkatan 3. Group ni memang aku dah lost contact langsung. Balik kampungpun jarang jumpa diaorang. Kalo terjumpapun masa pergi sembahyang raya aje.

Group yang kedua, kengkawan di SMS Taiping. Group ni memang aku paling segan nak reunion balik. Adala sekali tu dapat jemputan reunion di hotel Pan-Pacific, KL. Memang aku tak pergi, almaklumlah...siapalah aku ini jika dibandingkan dengan diaorang semua. Aku masih lagi orang biasa-biasa sedangkan diaorang dah jadi orang beso-beso kerana kebanyakan mereka further studies kat luar negara. Setakat ini aku masih menghubungi 2-3 orang rakan yang memang betul-betul kamcheng dengan ku dulu.

Group ke tiga , kawan-kawan aku di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Walaupun aku tak lama di sini, tapi aku mendapat kawan-kawan yang akrab. Kami dah macam adik beradik. Sungguhpun kami pernah terputus hubungan satu ketika dulu tetapi Alhamdulillah kami reunite kembali di rumah Abang Wan. Cuma agak menyedihkan kami baru saja kehilangan Uteh dalam kemalangan ngeri di Madinah pada bulan April yang lalu. Entah bila kami boleh berkumpul semula.

Group yang keempat pula adalah kawan-kawan aku di ITM Perak, Sri Manjung (1985 -1987) Di sini kami merupakan pioneer di kampus yang cuma sederetan rumah kedai. Tingkat atas adalah hostel para siswi sementara tingkat bawah merupakan bilik kuliah. Masa tu cuma ada 5 course iaitu DIA, DPA, DIB, DBS dan DSS dengan anggaran 200 orang pelajar. Para siswa pulak ditempatkan di deretan rumah teres tak jauh dari situ. Oleh kerana kampus (kononnya) ni kecik, jadi...InsyaAllah boleh kenal rupa walaupun tak berapa tau nama.

Dua bulan sudah aku dijemput join yahoo group ITM Manjung pioneer di internet. Masa aku join tu tak berapa meriah sangat. Tapi laa ni group ni bertambah besar. Rasanya dah ada 60 orang member kut. Dalam satu hari biasanya adalah 40-50 email. Cadangnya kami nak buat reunion besar-besaran lepas raya nanti. Terima kasihlah pada commitee bidan terjun yang nampaknya begitu berkobar-kobar untuk menjalankan misi tersebut.

Walaubagaimanapun esok (4 July) akan diadakan reunion kecil-kecilan lagi disebuah restoran di Wangsa Maju. Tadi baru saja dimaklumkan bahawa organizer dah panik sikit sebab jumlah yang nak datang lebih 50 orang. Tak sangka pulak dapat sambutan yang menggalakkan dan tentunya kami teruja nak jumpa kengkawan lama setelah 23 tahun terpisah. Mesti banyak cerita dan macam-macam gaya.

Sebenarnya aku tengah berdebar-debar...malu ada...rendah diripun ada, takut kengkawan tak kenal aku dah. Lagipun dari cerita2 di dalam group tu Aku dapat agak, ramai kengkawan yang dah berjaya. Ada yang dah ada PHD, ada yang dah jadi usahawan, ada yang bukak firma accauntancy sendiri, dan macam-macam lagi sedangkan aku masih biasa-biasa saja. Segannya aku dengan diaorang.

Namun itulah aku, seorang yang pemalu dan memang low profile sejak dulu. Sememangnya aku tak bercita-cita tinggi. Yang penting aku bahagia dikelilingi oleh 5 buah hati yang tercinta dalam sebuah mahligai yang dibina hampir 20 tahun lamanya. Aku selesa berkerja hampir 19 tahun lamanya di tempat kerjaku sekarang. Aku bersyukur kerana sudah punya rumah dan kereta sendiri (walaupun masih berhutang dengan bank). Aku lega kerana dapat mencurahkan bakti kepada ibu yang telah tua. Dalam usia 43 tahun ini, kesihatan aku masih terkawal tidak menghidapi sebarang penyakit kronik terutamanya penyakit 3 serangkai. Cuma sesekali diserang semput dan alahan.

Pendekata aku amat mensyukuri rahmat yang dikurniakan Allah kepadaku. Tiap orang bebas mencari kepuasan mereka sendiri dan aku amat berpuas hati dengan keadaanku sekarang. Cuma harapanku, aku dan suami dizinkan untuk menunaikan haji di Makkah suatu ketika nanti. Dan sekarang adalah lebih penting bagiku untuk memberi tumpuan kepada 4 orang cahayamata ku agar mereka menjadi insan yang sempurna baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah merestui cita-cita aku ini.

Amin Ya Rabbal A'lamin

Salam takziah buat Nick

Aku baru saja menulis tentang arwah bapaku, dua hari lepas aku mendapat berita bahawa bapa kawanku Nick @ Sarina telah kembali ke Rahmatullah. Begitulah suratannya, tiap yang hidup pasti akan mati. Tiada yang kekal kecuali DIA... Allah S.W.T.

Di harap Nick redha dengan ketentuan Ilahi serta tabah menghadapi dugaan hebat ini. Bersyukurlah kerana Allah memberi peluang untuk Nick bersama bapanya selama hampir 43 tahun, sedangkan aku hanya berpeluang bersama Apak selama 22 tahun cuma.

Semoga Allah merahmati roh bapa-bapa kami dan menempatkan mereka di syurga Firdaus.

Al Fatihah..