Tuesday, October 13, 2009

Selamat Hari Lahir Kak Yong


15 tahun satu hari yang lalu, aku masih di Labour Room tengah berhempas pulas menahan sakit semenjak pukul 12 tengah malam, sampaikan terdemam-demam dibuatnya. Mujurlah suami sentiasa disisi untuk memberi semangat. Walaupun sepayah manapun, aku tetap tabah melaluinya kerana inilah zuriat kami yang ditunggu selama hampir 5 tahun.

Tepat pukul 12.58 tengahari, 12/10/1994, akhirnya lahirlah Nur Dhania ke dunia ini. Hilang segala kesakitan dan kepayahan apabila menatap bayi yang bulat (3.6 kg) dan putih melepak. Airmata kesyukuran menitis deras apabila terdengar Ayah mengazan dan mengqamatkan bayi kami. Syukur Alhamdulillah.

Selama 15 belas tahun bersamanya, banyak kenangan pahit manis yang pastinya sukar dilupakan. Disebalik kegembiraan ini kami menghadapi dugaan, suamiku kehilangan pekerjaan. Namun suamiku amat bertanggungjawab, sanggup melakukan apa saja demi untuk menyara hidup kami.

Masa tu mujur Kak Yong menyusu badan, jadi jimat kos untuk membeli susu. Bila diingatkan sedih jugak kerana waktu malam aku selalu tinggal sendirian dengan Kak Yong kerana suamiku berkerja menjadi supervisor untuk kerja-kerja mengeluarkan tanah untuk pembinaan bangunan telekom (Bangunan rebung) di Bangsar.

Tahun 1997, kami dikurniakan Angah pula. Keluarga kami tambah meriah walaupun serba sederhana. Alhamdulillah berkat kesabaran kami, Ayah mendapat pekerjaan semula selepas Angah menyambut ulangtahunnya yang pertama. Dan dari situ rezeki kami terus bertambah dan selepas kelahiran Dafina pada tahun 2002 hidup kami terus selesa. Dan kini Naeem menyerikan kehidupan kami.

Aku amat bersyukur kerana Nur Dhania membesar dengan baik. Walaupun dia seorang yang degil tetapi dia mempunyai hati yang lembut dan amat sensitif. Dia cepat tersentuh dah mudah mengalirkan airmata. Dia pernah dirotan oleh ayahnya hanya kerana dia tak mahu pergi ke sekolah. Rupa-rupanya ada sebab yang membuat dia tak mahu pergi sekolah...dia diperas ugut!!!

Sejak di tadika Nur Dhania telah menunjukkan kepandaiannya sehingga sering mendapat pujian dari guru2nya. Dia memang ringan tulang, gemar menolong orang, manja... tak dapat tidur tanpa teddy bearnya. Namun satu perkara yang masih belum berubah sejak dari kecil...dia tidak boleh diganggu tidurnya. Kalau diganggu dia akan 'meragam'.

Sesungguhnya Nia merupakan harapan Mak dan Ayah. Kami amat bersyukur dengan kehadiranmu. Semoga Nia akan menjadi insan yang sempurna dunia dan akhirat. Mak harap Nia menjadi contoh kepada adik-adik dalam semua segi. Walaupun masih banyak kekurangan, namun Mak harap Nia tak jemu belajar untuk menjadi seorang insan yang bertanggungjawab dalam tindak-tanduk Nia. Jangan sia-siakan harapan kami. Mak dan ayah minta maaf sekiranya ada hajat Nia yang tidak dapat kami tunaikan. Jauh disudut hati kami, kami amat menyayangimu.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Kau rahmatilah Nur Dhania. Peliharakanlah dia dari perkara-perkara yang tidak diingini. Jadikan dia anak yang solleh, yang sempurna dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabbal A'lamin.

Selamat hari lahir sayang walaupun terlewat sehari!!!