Sunday, December 13, 2009

Reunion di rumah Arwah Uteh

Atas permintaan ramai...(perasan), aku cuba menulis semula. Rupanya aku masih belum menyudahkan coretan mengenai reunion di rumah Arwah Uteh kira-kira setahun yang lalu. Maaf ye kawan-kawan.

Kadang-kadang kita memang boleh merancang tetapi Allah jua menentukan. Sebenarnya keinginan kami untuk melawat keluarga Arwah Uteh memang telah lama terpendam. Namun agak sukar untuk mengumpul kawan-kawan yg berada di utara dan selatan malah yg di Lembah Kelang sekalipun lantaran komitmen masing-masing.

Namun kehendak Allah, hasil usaha Yong yang turun dari JB pada bulan Disember tahun lalu, akhirnya keinginan itu terlaksana juga. Aku, Yong, Achik dan Ayi berkumpul semula di rumah Arwah.



Sudah semestinya kami terharu kerana dapat bertemu semula. Kali terakhir kami berkumpul di Sunway Pyramid semasa kunjungan Usu dan family ke sini. Masa tu Arwah datang bersama keluarganya dan turut disertai oleh Achik dan Ayi. Namun pertemuan kali ini memang lain sangat. Suasana memang agak pilu dan kami amat terasa akan ketiadaan Arwah...tidak dapat dinafikan, kami merindui keceriaan Arwah dan senyuman manisnya.



Walaupun baru pertama kali aku menjejaki rumah Arwah, namun aku dapat merasakan bahawa suasana rumah Arwah seakan-akan kusam, bagai kehilangan serinya. Pengakuan Anuar, suami arwah bahawa dapur rumahnya tidak pernah berasap semenjak ketiadaan Arwah mengiyakan perasaanku.

Kunjungan kami membuatkan dia terpaksa membeli teh dan gula semata-mata untuk menyambut kedatangan kami. Rutin hariannya kini, keluar bekerja dipagi hari dan balik ke rumah hanya setelah manikmati makan malam diluar. Rumah teres dua tingkat itu yang dihuni bersama anak bongsunya kerana dua anaknya berada di asrama, menjadi tempat bermalam cuma. Dia kini banyak menghabiskan masanya diluar seperti memanjat gunung, berkayak dan sebagainya. Malah ibu mertuanya pun tidak betah untuk tinggal dirumahnya walaupun sebelum kematian Arwah, dia menetap disitu



Pertemuan dengan ibu Arwah yang turut terlibat sama dalam kemalangan itu amat mengharukan kami. Apatah lagi bila mendengar cerita saat-saat terakhir Arwah. Terasa sendu apabila menatap album terakhir gambar-gambar Arwah yang membuatkan kami tidak dapat membendung lagi airmata yang tertahan.

Dada semakin sebak bila mendengar cerita yang Arwah seolah-olah mengetahui akan ajalnya yang hampir tiba. Menurut Ibunya, dia melarang Arwah untuk duduk di bahagian depan bas, tetapi Arwah berkata "Kalau nak mati...dimana-manapun boleh mati" Sebelum itu, dia sempat membelanja anggota rombongan umrah dan siap berpesan kepada birasnya agar menjaga Ibunya baik-baik sekiranya dia tiada.



Kami bertambah hiba bila menatap wajah anaknya yang bongsu Arwah. Wajahnya yang seiras mamanya membuat kami lebih terkenangkan Arwah. Betapa besar dugaan yang dilalui oleh anak kecil ini. Sebagaimana kami, dia tentu lebih merasakan kehilangan mamamya, apatah lagi dirinya diasuh sendiri oleh mamanya semenjak bayi.



Syahdu sungguh pertemuan ini. Berat mata memandang..berat lagi bahu yang memikul. Suami kehilangan isteri... anak-anak kehilangan ibu, ibu kehilangan anak. Tiada siapa yang dapat menghalang ketentuan Allah. Semoga Allah dapat membantu keluarga ini untuk menangani kekosongan yang dirasai.

Namun disudut hati, aku dapat merasakan mereka telah redho dengan pemergian Arwah, apatah lagi Arwah merupakan insan yang terpilih untuk dibangkitkan dahulu bersama Rasullullah S.A.W. dihari kebangkitan nanti.




Sesungguhnya pertemuan ini memang membangkitkan nostalgia lama semasa belajar di PUO. Banyak cerita lama dikenang semula. Walaupun tak semua dapat berkumpul sekurang-kurangnya kami telah melengkapkan usaha Arwah yang memang ingin kami berkumpul semula. Allah telah menggerakkan Arwah menghubungi kami semua sejak 2 bulan sebelum pemergiannya kerana perhubungan kami memang agak renggang lantaran komitmen masing-masing. Itulah juga menyebabkan kami semua sukar untuk melupakan dia.

Kepada keluarga Arwah, semoga mereka semua sentiasa bersatu dan tabah menghadapi apa jua dugaan. Hanya iringan doa yang mampu kami kirimkan agar Arwah Uteh bahagia di sana dan semoga Allah merahmati keluarganya yang ditinggalkan agar mereka kekal bahagia walaupun Arwah telah tiada.

Amin.

No comments: