Saturday, May 23, 2009

KEHILANGAN

Dua hari lepas bila Yong sms mengatakan ada cerita Arwah Uteh dalam majalah Wanita keluaran Jun'09, aku tanpa berlengah terus membeli majalah tersebut. Aku jadi sebak bila membaca coretan tersebut apatah lagi bila menatap gambar-gambar terakhirnya termasuk gambar suami dan anak-anaknya ketika menatap jenazah arwah buat kali terakhir.

Bila aku tengok wajah anaknya yang bongsu, lagi aku sayu. Rupa parasnya sebijik macam muka arwah. Dan aku terfikir bagaimanalah anak kecil ini menghadapi dugaan ini dalam usia yang begitu muda. Tiba-tiba saja 'Mama' hilang lenyap tak kembali. Aku percaya mungkin dia yang paling merasa kehilangan ini kerana sepanjang masa Mamanya berada disisi lantaran dari sejak lahir hanya Mamanya yang mengasuh dan membelainya. Bayangkanlah sekelip mata saja dia kini terpaksa tinggal di taska dari pagi sampai petang sehingga bapanya balik dari ofis. Lebih-lebih lagi kakak dan abangnya pulak berada di asrama

Luahan hati suami dan anak-anak arwah amat memilukan hatiku. Catatan kenangan amat menghibakan. Tiada apa yang dapat dilakukan kecuali bersimapati dari jauh. Namun doa ku agar Allah merahmati mereka dan semoga allah tabahkan hati mereka untuk menerima taqdir ini.

Sekilas aku membayangkan, seandainya ini terjadi padaku. Adakah anak-anakku dan suamiku akan merasa begini. Mungkin mereka akan merasa kehilangan aku hanya pada waktu malam dan hari cuti sahaja kerana mereka telah terbiasa akan ketiadaan aku pada waktu siang hari.

Kadang-kadang aku sedih jugak kerana hanya dapat bersama mereka hanya pada waktu malam dan hujung minggu saja. Nasib baiklah teknologi semakin canggih. Jadi, apa yang aku dapat buat cuma monitor dari ofis melalui telefon. Ataupun kalau ada perkara-perkara yang ingin diceritakan, pasti anak-anakku akan menelefon aku. Kadang-kadang aku bersimpati kepada mereka bila mereka tanya bila mak nak cuti? Malah aku juga dapat merasakan akan kegirangan mereka bila aku berada dirumah tak kiralah sebab bercuti ataupun cuti sakit.

Sebenarnya aku kecewa juga bila tak dapat menyaksikan perkara-perkara penting dalam hidup anak-anakku seperti langkah pertama mereka, perkataan pertama dan lain-lain. Tetapi apakan daya, aku seorang ibu yang bekerja. Namun aku berhasrat untuk berhenti kerja bila keadaan mengizinkan supaya aku punya lebih banyak waktu bersama anak-anakku. Apatah lagi cabaran masakini yang begitu menakutkan seperti meningkatnya kes culik, ragut, rogol dan gejala sosial yang memerlukan perhatian kita sebagai ibubapa.

Semoga Allah akan mengabulkan hasratku ini.

Amin...

Wednesday, May 13, 2009

MOTIVASI DIRI

Dah dua hari setengah aku M.C. (he..he..Hari Isnin aku masih mampu bekerja 1/2 hari walaupun aku semput sangat). Walaupun aku boleh terus menemui doktor pada pagi hari lagi, tetapi aku tetap committed dengan kerjaku. Aku harus menghabiskan kerjaku sebelum ke klinik.


Kalau diikut Pn doktor, dia ingin memasukkan aku ke wad tetapi bila memikirkan Naeem yang masih menyusu aku mohon padanya yang aku rela berulang-alik ke hospital untuk dapatkan nebulizer. Akhirnya dia setuju setelah mendapati keadaan ku agak selesa selepas mendapat rawatan nebulizer dan injection. Aku disarankan untuk mendapat nebulizer tiap-tiap 6 jam sekali.


Malam tu aku ke SMC (now dikenali sebagai Selangor Specialist Hospital) lagi untuk nebulizer yang seterusnya. Malangnya aku terpaksa memohon GL baru untuk rawatan tersebut. Oleh kerana malas nak menunggu, aku membuat pilihan untuk membayar sendiri. Caj yang di kenakan RM39.90. Mahalnya...


Semalam aku mengambil keputusan untuk mendapat nebulizer dari panel klinikku yang berdekatan dengan rumah. Rupanya caj yang di kenakan cuma RM20.00 lagipun aku tak payah bersusah payah nak minta GL dari PMCare. Selesai masalah dan jimat duit company aku.


Oleh kerana boring tak buat apa-apa, aku melayari blog Prof Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku 'Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah Meniti Hari esok (yang belum habis kubaca lagi) serta blog isterinya Roza.


Membaca blog Prof yang kini terus berdakwah dengan memenuhi jemputan berceramah dimana-mana secara percuma membuat aku merenung diriku sendiri, dulu...kini...dan hari yang mendatang. Betapa bertuahnya dia mendapat hidayah Allah setelah usia menghampiri setengah abad. Ketulusan hatinya mengakui segala kejahilannya yang tak pandai mengaji walaupun dia sudah mendapat PHD dalam bidang perakaunan amat mengkagumkan. Bukan mudah untuk seorang manusia untuk mengakui akan kekurangan dirinya.


Beliau amat beruntung kerana Allah telah mengurniakan seorang isteri yang cekal dan tidak jemu untuk menasihatinya untuk menunaikan solat tahajud dan solat hajat sebelum dia meneruskan hobinya yang suka menulis tentang bidang kerjaya yang diceburinya. Akhirnya dia menyahut seruan isterinya dan beliau mula melakukan solat-solat tersebut walaupun pada mulanya hanyalah untuk memohon kenaikan pangkat semata-mata.

Namun hikmah disebalik itu, hatinya semakin lembut dan sedikit demi sedikit nur islam terpancar dihatinya. Tiba-tiba sahaja hatinya terbuka untuk menunaikan haji dan Allah memakbulkan doanya. Mungkin juga beliau telah memperolehi haji yang mabrur sehingga beliau benar-benar berubah, maksudnya sekembalinya dari Tanah Suci beliau berusaha meninggalkan perkara-perkara mungkar yang sering dilakukan dulu malah terus giat berdakwah mengikut caranya yang tersendiri.

Kesungguhan beliau menghasilkan Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang boleh menjadi panduan bagi bakal-bakal haji dan orang-orang yang ingin menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah berdasarkan pengalamannya sendiri amat dihargai. Bukunya terus mendapat sambutan disebalik tohmahan orang-orang yang memandang dari sudut yang negative kononnya beliau riyak dan hanya suka menunjuk-nunjuk. Namun kerendahan hatinya dengan tidak memperdulikan fitnah-fitnah tersebut dan terus cekal berdakwah di sana-sini. Terbaru di akan muncul di kaca TV (astro Awani) untuk slotnya sendiri, khabarnya dalam bulan Jun nanti.


Aku dapat merasakan betapa bertuahnya pelajar-pelajar UITM Johor yang mempunyai seorang Pengarah yang telah berada di Masjid AsSyakirin seawal jam 4.30 pagi untuk terus memperbaiki bacaan alQuran serta mendalami terjemahannya dari staffnya sendiri. Beliau tidak jemu-jemu mengajak warga UITM Johor memakmurkan masjid yakni dengan menunaikan solat secara berjemaah. Kesungguhan beliau mengadakan program-program keagamaan bagi memantapkan rohani anak didiknya sehingga beliau tidak lokek untuk mengeluarkan duit poketnya sendiri amatlah dikagumi. Syabas Prof...teruskan usaha murni anda.


Membaca blog isterinya Rozaroslan pulak dapat menghimbau kenangan laluku kerana kami membesar di zaman yang sama. Dia hanya muda setahun dariku. Pengalaman hidupnya yang dilatih berdikari sejak dari sekolah rendah serta kegarangan ayahnya yang sering menghukum beliau dengan rotan telah menjadikannya seorang insan yang cekal dan tidak mudah putus asa. Betullah kata orang, kejayaan dan kejatuhan seorang lelaki adalah disebabkan oleh wanita-wanita yang didampingi. Baik wanita itu maka baiklah jadinya begitulah juga sebaliknya.


Kesimpulan yang didapati dari blog mereka, jika kita berdoa dengan tulus ikhlas serta istiqomah pasti Allah akan mendengar doa kita, dan akhirnya Dia akan memakbulkan doa kita dengan caranya sendiri dan kita haruslah bersabar dan redha dengan taqdir yang ditentukannya.

Sedikit sebanyak aku mendapat pengisian yang amat berharga dan dapat memotivasi diri sendiri. Demi keluargaku yang masih memerlukan aku, aku harus sihat dan terus cergas dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai isteri dan ibu. Malah bila direnung kembali masih banyak tanggungjawab yang belum terlaksana khususnya tanggungjawab sebagai hambaNya yang masih belum mencapai walaupun 10% pun. Astaghfirullahhal a'zim....

Ya Allah...Ya Rahman Ya Rahim, Kau berikanlah aku peluang untuk menunaikan tanggungjawabku sebagai hambaMu. Tunjukkan aku jalan yang lurus menuju ke Syurga FirdausMu. Temukanlah kami sekeluarga di sana. Kau sembuhkanlah penyakit yang kualami ini Ya Allah.

Amin Ya Rabbal Alamin.




Saturday, May 9, 2009

Hari Ibu

May datang lagi. Selamat hari ibu untuk semua ibu-ibu diseluruh dunia termasuk diriku sendiri. Bila difikirkan balik tak sangka juga aku telah menjadi ibu selama 15 tahun. Aku juga tak menyangka telah lahir dari rahimku ini 3 puteri dan seorang putera.



Pada satu ketika aku agak kecewa iaitu dalam masa 4 tahun pertama usia perkahwinanku kerana gagal hamil walaupun telah puas berikhtiar semada secara moden mahupun secara tradisional. Mujur mertuaku tidak memberi tekanan malah aku dimarahi oleh ibu mertuaku bila dia dapat tahu aku menjalani ujian 'laparoscopy' untuk mengetahui punca masalah yang menyebabkan aku gagal hamil. Katanya aku hanya perlu bersabar dan terus berdoa kepada Allah, sampai masanya nanti tentu Allah akan mengkabulkan hasrat kami.



Aku juga amat berbangga dengan sikap suamiku yang begitu sporting mahu menjalani ujian kesuburan kerana ramai lelaki yang enggan melaluinya kerana takut sekiranya keputusan itu akan memihak kepada mereka. Tentunya ini akan menggugat kejantanan mereka. Maka tanpa menjalani ujian, mereka lebih senang menyalahkan isteri mereka yang tidak mampu melahirkan anak.



Alhamdullilillah, selepas menjalani ujian tersebut kami berdua disahkan normal, tidak menghadapi apa-apa masalah. Aku lega sangat. Kami redha dan terus berdoa agar ikatan perkahwinan kami akan terus kukuh walaupun tidak dikurniakan anak.



Setelah 4 tahun hidup menyewa, kami mengambil keputusan untuk membeli rumah sendiri. Itupun disebabkan tuan rumah ingin menaikkan sewa kepada RM500 dari RM400. Kami ingin membeli rumah di kawasan yang sama, tapi taqdir Allah menentukan pada hari kami ingin pergi ke bank untuk menguruskan pinjaman, tiba-tiba berlaku banjir kilat dan rumah yang ingin kami beli itu teruk ditenggelami air. Walaupun tuan rumah itu bersedia untuk menurunkan harga rumah tersebut tetapi kami telah tawar hati untuk membelinya.



Lalu kami meninjau sebuah kawasan perumahan baru yang hampir siap tetapi agak terpencil serta jauh dari tempat kerja. Kami melawat show housenya (corner house) serta serta masuk melawat satu rumah selang sebuah dari rumah tersebut. Kami tertarik dengan bentuk, keluasan rumah tersebut. Malangnya, kami mendapat tahu bahawa semua rumah telah dijual. Namun suamiku tidak berputus asa, dia telah menghubungi pihak perumahan dan mendapat tahu bahawa terdapat satu rumah yang mana pembelinya gagal mengadakan deposit dalam masa yang ditentukan. Sekiranya kami mahu, kami perlu datang pada hari itu juga untuk booking dan membayar deposit dalam masa terdekat.



Suamiku terus turun ke KL untuk buat booking. Mujurlah duit KWSP suami mencukupi untuk membayar deposit tersebut dan Alhamdullilah bank meluluskan pinjaman perumahan dengan segera. Kami amat berpuas hati walaupun agak terkejut bila mendapati lot rumah yang kami beli itu adalah rumah yang sama yang kami lawati tempohari.



Kami menunggu selama 6 bulan sebelum rumah kami siap sepenuhnya. Memandangkan keadaan kewangan kami yang tak seberapa, kami mula membeli kelengkapan rumah sedikit demi sedikit. Akhirnya pada bulan Oct'93, walaupun CF belum dikeluarkan, tetapi kemudahan air dan elektrik telah ada maka kamipun menjadi keluarga pertama berpindah kekawasan itu. Keadaan amat sunyi dan agak menakutkan kerana kemudahan lampu jalan masih belum siap, mujurlah rumah kami menghadap fasa yang lama dimana rumah-rumah depan telahpun dihuni.



Dalam kesibukan berpindah serta mengemas rumah mungkin aku lupa pada hasratku yang inginkan anak. Namun suatu hari aku diserang gastrik yang teruk. Ketika membuat pemeriksaan di klinik doktor bertanyakan tentang haidku. Kebetulan waktu itu haid ku memang telah terlewat.. Namun aku tak menghiraukannya kerana sebelum inipun pernah terjadi begitu, bila diperiksa...negative. Doktor tersebut mendesak agar aku menjalani ujian kehamilan. Aku bersetuju walaupun tak mengharap. Keputusan ujian tersebut...POSITIVE. Aku dan suamiku amat terkejut dan agak sukar mempercayainya.



Aku pergi menemui doktor yang menjalankan ujian kesuburan kami berdua yang kebetulan baru membuka kliniknya sendiri di Shah Alam. Setelah ujian ultrsound dilakukan, doktor Suraya mengesahkan aku hamil. Alhamdullillah, kami bersyukur sangat. Itulah ketentuan Allah. Tanpa apa-apa kaedah rawatan aku berjaya hamil walaupun sebelum ini aku pernah berhabis ribuan ringgit untuk hamil.



Akhirnya pada 12 Oct 1994 aku melahirkan seorang bayi perempuan yang amat comel. Aku amat terharu kerana suamiku sudi menemani aku sepanjang 12 jam kesakitan ketika melahirkan. Aku puas, akhirnya hasrat kami terkabul juga setelah hampir lima tahun menunggu.



Namun aku agak kecewa kerana ibu mertuaku tidak sempat melihat puteriku Nur Dhania kerana dia menghembuskan nafasnya yang akhir sewaktu aku hamil 3 bulan. Walaubagaimanapun dia amat gembira bila mendapat perkhabaran yang aku telah hamil.



Sekarang aku telah memperolehi 4 cahayamata iaitu Nur Dhania (15 tahun), Nur Dalila (12 tahun), Nur Dafina (7 tahun) dan akhir sekali Naeem Danish (18 bulan). Suamiku berada disisiku pada semua kelahiran kecuali Naeem Danish yang dilahirkan secara pembedahan.



Sesungguhnya, aku amat bersyukur dengan kurniaan Allah ini. Betul kata ibu mertuaku, kita harus bersabar dan redha dengan semua ketentuan Allah kerana dia yang maha mengetahui. Dia mengurniakan kami anak setelah kami benar-benar bersedia menjadi ibu dan ayah, ketika keadaan kewangan kami hampir kukuh, ketika kami mampu memiliki rumah kami sendiri.



Aku dapat merasakan rumah ini memiliki tuahnya tersendiri. Dengan izin Allah aku dinaikkan pangkat ke jawatan Supervisor pada bulan yang sama aku melahirkan. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu pening kepala untuk menyediakan belanja perubatan keluargaku kerana kos perubatan di tanggung oleh syarikat tempatku bekerja.



Begitulah serba sedikit coretan kenangan ku di hari Ibu kali ini. Namun aku sedar, tugasku belum selesai. Setakat ini aku telah berjaya melahirkan 4 cahayamata tetapi mampukan aku mendidik mereka menjadi manusia yang sempurna. Apatah lagi cabaran masakini amat merisaukan.



Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Kau tunjukkan kami jalan yang benar, Kau bimbinglah kami, sucikanlah hati kami, ajaklah kami sentiasa mendampingimu, Kau tunjukkan cara terbaik untuk kami mendidik anak-anak kami. Kau peliharalah keluarga kami dari perkara-perkara yang tidak diingini. Limpahkan rahmatmu Ya Allah agar keluarga kami kekal harmoni hingga ke akhir hayat kami.



Amin Ya Rabbal A'lamin.

Friday, May 1, 2009

Luahan rasa seorang isteri dan ibu

Hari ni hari Pekerja.. Yee cuti!!! Padaku hari cuti adalah hari yang dinanti-nanti, tak kiralah samada hujung minggu saja mahupun public holiday. Tetapi public holiday yang jatuh pada hari Jumaat dan Isninlah yang paling dinanti. At least dapatlah melepaskan tension kerja serta bergembira bersama keluarga.



Semalam, aku ambik cuti setengah hari. Bukannya apa, sibuk menguruskan soal cukai. Kan 30 April merupakan hari terakhir kita submit borang income tax. Semalam aku bangun subuh sepi'i iaitu pukul 4 pagi untuk buat E-filing untuk aku suami isteri. Aku tau kalau waktu puncak mesti line buzy. Lagipun baby aku tak suka aku duduk depan komputer lama-lama. Kadang-kadang tu dengan selumbernya dia menutup suis komputer. Bila dimarah atau dipukul tangannya dia buat 'dek' saja. Kadang-kadang dia gelak seolah-olah berpuas hati kerana dapat menarik perhatian ku. Itulah Naeem Danish yang semakin active dan keletah...tak boleh duduk walau seminitpun.



Semalam juga kami selesaikan hutang kami pada gomen dengan harapan duit yang diberi dapat memakmurkan lagi negara kita yang tercinta ni. Semoga gomen dapat menyediakan kemudahah-kemudahan yang berguna untuk generasi anak-cucuku.

Lepas tu aku balik ke rumah, tido sekejap sebab ngantuk tapi taklah lena sangat sebab in-between kena layan Naeem jugak.


Lewat petang, suami yang balik dari kerja ajak aku pergi pasar malam...tapi tak jadilah pulak. Sesuatu yang tak diduga berlaku. Suami aku hilang mood dan anak dara aku yang sulung pulak terus berkurung dalam bilik. Sampai hari ni keadaan masih sama. Kesian pulak dekat yang lain-lain tu. Selalunya bila hujung minggu begini kami selalu keluar sekeluarga tak kiralah samada pergi window shopping or pergi makan kat luar. Biasanya hujung minggu aku rest tak masak sebab tiap-tiap pagi hari biasa aku mesti sediakan juadah untuk anak-anakku walaupun juadah yang simple.


Hari ini, suami aku lepaskan tensionnya dengan bertukang. Dia dengan Angah sibuk membetulkan store kecik di depan rumah yang menjadi tempat menyimpan barang kepunyaannya. Selalunya dalam hal bertukang ni Kak Yong yang suka tolong dia tapi kali ini terpaksalah Angah membantu.


Itulah suamiku, seorang insan yang amat istimewa dihatiku. Mungkin sesiapa yang tidak mengenalinya akan mengatakan dia seorang yang sombong dan amat serious. Tetapi di dalam keluarga, dia adalah seorang yang kelakar, penyayang serta amat bertanggung jawab. Mungkin kerana itu jugalah sampai sekarang aku tak berapa 'independent'. Dia tidak perlu menjerit untuk menunjukkan kemarahannya tetapi sikapnya yang mendiamkan diri itu sudah cukup meresahkan kami. Harap-harap perkara ini tidak berpanjangan....


Sesungguhnya hidup kita ini tidak lepas dari dugaan Allah. Walaupun agak buntu untuk menyelesaikan masalah ini tetapi aku harus cuba sedaya-upayaku. Sekarang ini barulah aku tahu akan susah payah ibubapa kita sewaktu membesarkan kita dulu.


Kepada suamiku, aku tetap menyokong dengan apa jua tindakanmu cuma aku berharap perkara ini dapat ditangani dengan cara diplomasi. Kepada Kak Yong, aku mengharapkan dia dapat menerima teguran kami dengan ikhlas serta lebih menghormati Ayahnya serta dapat meminta maaf di atas kesalahan yang dilakukan demi kebaikan dirinya sendiri. Apatah lagi, tahun ini merupakan tahun penting untuknya membuktikan sesuatu kepada kami seperti janjinya sendiri. Aku masih mengharapkan dia dapat menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya.

Untuk Angah, Pina dan Naeem, perkara ini patut menjadi teladan agar tidak melakukannya di masa depan .


Kepada diriku sendiri, janjiku, walau sesibuk manapun, aku harus lebih meluangkan masa untuk suami dan anak-anakku demi kebahagiaan keluarga kami. Semoga selepas ini aku tidak akan terlepas pandang akan masalah-masalah yang kecil, perkara yang remeh-temeh yang boleh menjadi besar sekiranya tidak ditangani segera.


Ya Allah, Engkau kembalikan keharmonian keluarga kami. Amin.