Wednesday, May 13, 2009

MOTIVASI DIRI

Dah dua hari setengah aku M.C. (he..he..Hari Isnin aku masih mampu bekerja 1/2 hari walaupun aku semput sangat). Walaupun aku boleh terus menemui doktor pada pagi hari lagi, tetapi aku tetap committed dengan kerjaku. Aku harus menghabiskan kerjaku sebelum ke klinik.


Kalau diikut Pn doktor, dia ingin memasukkan aku ke wad tetapi bila memikirkan Naeem yang masih menyusu aku mohon padanya yang aku rela berulang-alik ke hospital untuk dapatkan nebulizer. Akhirnya dia setuju setelah mendapati keadaan ku agak selesa selepas mendapat rawatan nebulizer dan injection. Aku disarankan untuk mendapat nebulizer tiap-tiap 6 jam sekali.


Malam tu aku ke SMC (now dikenali sebagai Selangor Specialist Hospital) lagi untuk nebulizer yang seterusnya. Malangnya aku terpaksa memohon GL baru untuk rawatan tersebut. Oleh kerana malas nak menunggu, aku membuat pilihan untuk membayar sendiri. Caj yang di kenakan RM39.90. Mahalnya...


Semalam aku mengambil keputusan untuk mendapat nebulizer dari panel klinikku yang berdekatan dengan rumah. Rupanya caj yang di kenakan cuma RM20.00 lagipun aku tak payah bersusah payah nak minta GL dari PMCare. Selesai masalah dan jimat duit company aku.


Oleh kerana boring tak buat apa-apa, aku melayari blog Prof Muhd Kamil Ibrahim, penulis buku 'Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman dan Travelog Dakwah Meniti Hari esok (yang belum habis kubaca lagi) serta blog isterinya Roza.


Membaca blog Prof yang kini terus berdakwah dengan memenuhi jemputan berceramah dimana-mana secara percuma membuat aku merenung diriku sendiri, dulu...kini...dan hari yang mendatang. Betapa bertuahnya dia mendapat hidayah Allah setelah usia menghampiri setengah abad. Ketulusan hatinya mengakui segala kejahilannya yang tak pandai mengaji walaupun dia sudah mendapat PHD dalam bidang perakaunan amat mengkagumkan. Bukan mudah untuk seorang manusia untuk mengakui akan kekurangan dirinya.


Beliau amat beruntung kerana Allah telah mengurniakan seorang isteri yang cekal dan tidak jemu untuk menasihatinya untuk menunaikan solat tahajud dan solat hajat sebelum dia meneruskan hobinya yang suka menulis tentang bidang kerjaya yang diceburinya. Akhirnya dia menyahut seruan isterinya dan beliau mula melakukan solat-solat tersebut walaupun pada mulanya hanyalah untuk memohon kenaikan pangkat semata-mata.

Namun hikmah disebalik itu, hatinya semakin lembut dan sedikit demi sedikit nur islam terpancar dihatinya. Tiba-tiba sahaja hatinya terbuka untuk menunaikan haji dan Allah memakbulkan doanya. Mungkin juga beliau telah memperolehi haji yang mabrur sehingga beliau benar-benar berubah, maksudnya sekembalinya dari Tanah Suci beliau berusaha meninggalkan perkara-perkara mungkar yang sering dilakukan dulu malah terus giat berdakwah mengikut caranya yang tersendiri.

Kesungguhan beliau menghasilkan Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman yang boleh menjadi panduan bagi bakal-bakal haji dan orang-orang yang ingin menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah dan Madinah berdasarkan pengalamannya sendiri amat dihargai. Bukunya terus mendapat sambutan disebalik tohmahan orang-orang yang memandang dari sudut yang negative kononnya beliau riyak dan hanya suka menunjuk-nunjuk. Namun kerendahan hatinya dengan tidak memperdulikan fitnah-fitnah tersebut dan terus cekal berdakwah di sana-sini. Terbaru di akan muncul di kaca TV (astro Awani) untuk slotnya sendiri, khabarnya dalam bulan Jun nanti.


Aku dapat merasakan betapa bertuahnya pelajar-pelajar UITM Johor yang mempunyai seorang Pengarah yang telah berada di Masjid AsSyakirin seawal jam 4.30 pagi untuk terus memperbaiki bacaan alQuran serta mendalami terjemahannya dari staffnya sendiri. Beliau tidak jemu-jemu mengajak warga UITM Johor memakmurkan masjid yakni dengan menunaikan solat secara berjemaah. Kesungguhan beliau mengadakan program-program keagamaan bagi memantapkan rohani anak didiknya sehingga beliau tidak lokek untuk mengeluarkan duit poketnya sendiri amatlah dikagumi. Syabas Prof...teruskan usaha murni anda.


Membaca blog isterinya Rozaroslan pulak dapat menghimbau kenangan laluku kerana kami membesar di zaman yang sama. Dia hanya muda setahun dariku. Pengalaman hidupnya yang dilatih berdikari sejak dari sekolah rendah serta kegarangan ayahnya yang sering menghukum beliau dengan rotan telah menjadikannya seorang insan yang cekal dan tidak mudah putus asa. Betullah kata orang, kejayaan dan kejatuhan seorang lelaki adalah disebabkan oleh wanita-wanita yang didampingi. Baik wanita itu maka baiklah jadinya begitulah juga sebaliknya.


Kesimpulan yang didapati dari blog mereka, jika kita berdoa dengan tulus ikhlas serta istiqomah pasti Allah akan mendengar doa kita, dan akhirnya Dia akan memakbulkan doa kita dengan caranya sendiri dan kita haruslah bersabar dan redha dengan taqdir yang ditentukannya.

Sedikit sebanyak aku mendapat pengisian yang amat berharga dan dapat memotivasi diri sendiri. Demi keluargaku yang masih memerlukan aku, aku harus sihat dan terus cergas dalam menjalankan tanggungjawabku sebagai isteri dan ibu. Malah bila direnung kembali masih banyak tanggungjawab yang belum terlaksana khususnya tanggungjawab sebagai hambaNya yang masih belum mencapai walaupun 10% pun. Astaghfirullahhal a'zim....

Ya Allah...Ya Rahman Ya Rahim, Kau berikanlah aku peluang untuk menunaikan tanggungjawabku sebagai hambaMu. Tunjukkan aku jalan yang lurus menuju ke Syurga FirdausMu. Temukanlah kami sekeluarga di sana. Kau sembuhkanlah penyakit yang kualami ini Ya Allah.

Amin Ya Rabbal Alamin.




No comments: