Saturday, May 23, 2009

KEHILANGAN

Dua hari lepas bila Yong sms mengatakan ada cerita Arwah Uteh dalam majalah Wanita keluaran Jun'09, aku tanpa berlengah terus membeli majalah tersebut. Aku jadi sebak bila membaca coretan tersebut apatah lagi bila menatap gambar-gambar terakhirnya termasuk gambar suami dan anak-anaknya ketika menatap jenazah arwah buat kali terakhir.

Bila aku tengok wajah anaknya yang bongsu, lagi aku sayu. Rupa parasnya sebijik macam muka arwah. Dan aku terfikir bagaimanalah anak kecil ini menghadapi dugaan ini dalam usia yang begitu muda. Tiba-tiba saja 'Mama' hilang lenyap tak kembali. Aku percaya mungkin dia yang paling merasa kehilangan ini kerana sepanjang masa Mamanya berada disisi lantaran dari sejak lahir hanya Mamanya yang mengasuh dan membelainya. Bayangkanlah sekelip mata saja dia kini terpaksa tinggal di taska dari pagi sampai petang sehingga bapanya balik dari ofis. Lebih-lebih lagi kakak dan abangnya pulak berada di asrama

Luahan hati suami dan anak-anak arwah amat memilukan hatiku. Catatan kenangan amat menghibakan. Tiada apa yang dapat dilakukan kecuali bersimapati dari jauh. Namun doa ku agar Allah merahmati mereka dan semoga allah tabahkan hati mereka untuk menerima taqdir ini.

Sekilas aku membayangkan, seandainya ini terjadi padaku. Adakah anak-anakku dan suamiku akan merasa begini. Mungkin mereka akan merasa kehilangan aku hanya pada waktu malam dan hari cuti sahaja kerana mereka telah terbiasa akan ketiadaan aku pada waktu siang hari.

Kadang-kadang aku sedih jugak kerana hanya dapat bersama mereka hanya pada waktu malam dan hujung minggu saja. Nasib baiklah teknologi semakin canggih. Jadi, apa yang aku dapat buat cuma monitor dari ofis melalui telefon. Ataupun kalau ada perkara-perkara yang ingin diceritakan, pasti anak-anakku akan menelefon aku. Kadang-kadang aku bersimpati kepada mereka bila mereka tanya bila mak nak cuti? Malah aku juga dapat merasakan akan kegirangan mereka bila aku berada dirumah tak kiralah sebab bercuti ataupun cuti sakit.

Sebenarnya aku kecewa juga bila tak dapat menyaksikan perkara-perkara penting dalam hidup anak-anakku seperti langkah pertama mereka, perkataan pertama dan lain-lain. Tetapi apakan daya, aku seorang ibu yang bekerja. Namun aku berhasrat untuk berhenti kerja bila keadaan mengizinkan supaya aku punya lebih banyak waktu bersama anak-anakku. Apatah lagi cabaran masakini yang begitu menakutkan seperti meningkatnya kes culik, ragut, rogol dan gejala sosial yang memerlukan perhatian kita sebagai ibubapa.

Semoga Allah akan mengabulkan hasratku ini.

Amin...

No comments: