Saturday, May 9, 2009

Hari Ibu

May datang lagi. Selamat hari ibu untuk semua ibu-ibu diseluruh dunia termasuk diriku sendiri. Bila difikirkan balik tak sangka juga aku telah menjadi ibu selama 15 tahun. Aku juga tak menyangka telah lahir dari rahimku ini 3 puteri dan seorang putera.



Pada satu ketika aku agak kecewa iaitu dalam masa 4 tahun pertama usia perkahwinanku kerana gagal hamil walaupun telah puas berikhtiar semada secara moden mahupun secara tradisional. Mujur mertuaku tidak memberi tekanan malah aku dimarahi oleh ibu mertuaku bila dia dapat tahu aku menjalani ujian 'laparoscopy' untuk mengetahui punca masalah yang menyebabkan aku gagal hamil. Katanya aku hanya perlu bersabar dan terus berdoa kepada Allah, sampai masanya nanti tentu Allah akan mengkabulkan hasrat kami.



Aku juga amat berbangga dengan sikap suamiku yang begitu sporting mahu menjalani ujian kesuburan kerana ramai lelaki yang enggan melaluinya kerana takut sekiranya keputusan itu akan memihak kepada mereka. Tentunya ini akan menggugat kejantanan mereka. Maka tanpa menjalani ujian, mereka lebih senang menyalahkan isteri mereka yang tidak mampu melahirkan anak.



Alhamdullilillah, selepas menjalani ujian tersebut kami berdua disahkan normal, tidak menghadapi apa-apa masalah. Aku lega sangat. Kami redha dan terus berdoa agar ikatan perkahwinan kami akan terus kukuh walaupun tidak dikurniakan anak.



Setelah 4 tahun hidup menyewa, kami mengambil keputusan untuk membeli rumah sendiri. Itupun disebabkan tuan rumah ingin menaikkan sewa kepada RM500 dari RM400. Kami ingin membeli rumah di kawasan yang sama, tapi taqdir Allah menentukan pada hari kami ingin pergi ke bank untuk menguruskan pinjaman, tiba-tiba berlaku banjir kilat dan rumah yang ingin kami beli itu teruk ditenggelami air. Walaupun tuan rumah itu bersedia untuk menurunkan harga rumah tersebut tetapi kami telah tawar hati untuk membelinya.



Lalu kami meninjau sebuah kawasan perumahan baru yang hampir siap tetapi agak terpencil serta jauh dari tempat kerja. Kami melawat show housenya (corner house) serta serta masuk melawat satu rumah selang sebuah dari rumah tersebut. Kami tertarik dengan bentuk, keluasan rumah tersebut. Malangnya, kami mendapat tahu bahawa semua rumah telah dijual. Namun suamiku tidak berputus asa, dia telah menghubungi pihak perumahan dan mendapat tahu bahawa terdapat satu rumah yang mana pembelinya gagal mengadakan deposit dalam masa yang ditentukan. Sekiranya kami mahu, kami perlu datang pada hari itu juga untuk booking dan membayar deposit dalam masa terdekat.



Suamiku terus turun ke KL untuk buat booking. Mujurlah duit KWSP suami mencukupi untuk membayar deposit tersebut dan Alhamdullilah bank meluluskan pinjaman perumahan dengan segera. Kami amat berpuas hati walaupun agak terkejut bila mendapati lot rumah yang kami beli itu adalah rumah yang sama yang kami lawati tempohari.



Kami menunggu selama 6 bulan sebelum rumah kami siap sepenuhnya. Memandangkan keadaan kewangan kami yang tak seberapa, kami mula membeli kelengkapan rumah sedikit demi sedikit. Akhirnya pada bulan Oct'93, walaupun CF belum dikeluarkan, tetapi kemudahan air dan elektrik telah ada maka kamipun menjadi keluarga pertama berpindah kekawasan itu. Keadaan amat sunyi dan agak menakutkan kerana kemudahan lampu jalan masih belum siap, mujurlah rumah kami menghadap fasa yang lama dimana rumah-rumah depan telahpun dihuni.



Dalam kesibukan berpindah serta mengemas rumah mungkin aku lupa pada hasratku yang inginkan anak. Namun suatu hari aku diserang gastrik yang teruk. Ketika membuat pemeriksaan di klinik doktor bertanyakan tentang haidku. Kebetulan waktu itu haid ku memang telah terlewat.. Namun aku tak menghiraukannya kerana sebelum inipun pernah terjadi begitu, bila diperiksa...negative. Doktor tersebut mendesak agar aku menjalani ujian kehamilan. Aku bersetuju walaupun tak mengharap. Keputusan ujian tersebut...POSITIVE. Aku dan suamiku amat terkejut dan agak sukar mempercayainya.



Aku pergi menemui doktor yang menjalankan ujian kesuburan kami berdua yang kebetulan baru membuka kliniknya sendiri di Shah Alam. Setelah ujian ultrsound dilakukan, doktor Suraya mengesahkan aku hamil. Alhamdullillah, kami bersyukur sangat. Itulah ketentuan Allah. Tanpa apa-apa kaedah rawatan aku berjaya hamil walaupun sebelum ini aku pernah berhabis ribuan ringgit untuk hamil.



Akhirnya pada 12 Oct 1994 aku melahirkan seorang bayi perempuan yang amat comel. Aku amat terharu kerana suamiku sudi menemani aku sepanjang 12 jam kesakitan ketika melahirkan. Aku puas, akhirnya hasrat kami terkabul juga setelah hampir lima tahun menunggu.



Namun aku agak kecewa kerana ibu mertuaku tidak sempat melihat puteriku Nur Dhania kerana dia menghembuskan nafasnya yang akhir sewaktu aku hamil 3 bulan. Walaubagaimanapun dia amat gembira bila mendapat perkhabaran yang aku telah hamil.



Sekarang aku telah memperolehi 4 cahayamata iaitu Nur Dhania (15 tahun), Nur Dalila (12 tahun), Nur Dafina (7 tahun) dan akhir sekali Naeem Danish (18 bulan). Suamiku berada disisiku pada semua kelahiran kecuali Naeem Danish yang dilahirkan secara pembedahan.



Sesungguhnya, aku amat bersyukur dengan kurniaan Allah ini. Betul kata ibu mertuaku, kita harus bersabar dan redha dengan semua ketentuan Allah kerana dia yang maha mengetahui. Dia mengurniakan kami anak setelah kami benar-benar bersedia menjadi ibu dan ayah, ketika keadaan kewangan kami hampir kukuh, ketika kami mampu memiliki rumah kami sendiri.



Aku dapat merasakan rumah ini memiliki tuahnya tersendiri. Dengan izin Allah aku dinaikkan pangkat ke jawatan Supervisor pada bulan yang sama aku melahirkan. Sekurang-kurangnya aku tidak perlu pening kepala untuk menyediakan belanja perubatan keluargaku kerana kos perubatan di tanggung oleh syarikat tempatku bekerja.



Begitulah serba sedikit coretan kenangan ku di hari Ibu kali ini. Namun aku sedar, tugasku belum selesai. Setakat ini aku telah berjaya melahirkan 4 cahayamata tetapi mampukan aku mendidik mereka menjadi manusia yang sempurna. Apatah lagi cabaran masakini amat merisaukan.



Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Kau tunjukkan kami jalan yang benar, Kau bimbinglah kami, sucikanlah hati kami, ajaklah kami sentiasa mendampingimu, Kau tunjukkan cara terbaik untuk kami mendidik anak-anak kami. Kau peliharalah keluarga kami dari perkara-perkara yang tidak diingini. Limpahkan rahmatmu Ya Allah agar keluarga kami kekal harmoni hingga ke akhir hayat kami.



Amin Ya Rabbal A'lamin.

No comments: