Tuesday, June 23, 2009

Apak... dalam kenangan

Bulan ini semua orang bercerita tentang bapa. Di sana-sini orang menyambut hari bapa, walaupun tradisi ini adalah tradisi orang puteh namun aku rasa memang wajar kita meraikan bapa kita yang banyak berjasa kepada kita. Aku rasa walaupun mereka tidak mahukan apa-apa, sekurang-kurangnya hari itu kita dapat melakukan sesuatu sebagai tanda penghargaan kita kepadanya. Tetapi apakan daya, aku tidak berpeluang untuk menyambutnya kerana bapaku telahpun tiada.

Hari bapa tahun ini jatuh pada 21 Jun . Ketika orang ramai bergembira meraikan bapa-bapa mereka, hatiku amat tersentuh. Kenangan 21 tahun yang lalu jelas terpancar dimemori. Pada hari Selasa, 21/6/1988, Apak (panggilan ku buat bapaku) telah menghembuskan nafasnya yang akhir sejurus sebelum masuk waktu fardu subuh di Hospital Tapah disebabkan sakit jantung.

Sesungguhnya pada hari itu aku telah kehilangan satu-satunya lelaki yang amat aku kasihi. Sedihnya tidak terkira, namun aku redha. Syukur kerana Allah permudahkan segala 'urusan' Apak. Waktu Subuh itu semua anak-menantu (kecuali seorang abang iparku yang keluar bertabligh) berada di sisi Apak disaat terakhirnya. Kami sampai ketika doktor sibuk melakukan CPR. Emak tak sanggup melihat Apak diperlakukan begitu. Aku terus menemani mak membaca Yassin dalam sedu-sedan. Akhirnya bila tiba saatnya, Apak sempat mengangkat takbir dan qiam dengan sendirinya. Innalillahiwainnailaihiraji'un....

Alhamdullillah semuanya berjalan lancar. Jenazah tiba dirumah pada pukul 7.30 pagi. Ramainya saudara-mara, sahabat-handai dan anak murid Apak, jauh dan dekat, datang menziarahi. Semuanya agak terkejut, terutamanya bagi mereka yang tidak tahu Apak ditahan di wad 4 - 5 hari sebelum itu. Memang tak dinafikan dalam keadaan yang tidak sihat itu, Apak masih lagi memandu kereta menghantar aku ke stesen teksi pada pagi Isnin, untuk pulang bekerja di Ipoh.

Jenazah Apak siap dimandikan dan dikafankan seawal jam 12 tengahari. Sehingga kini aku masih terbayang-bayang wajah Apak yang bersih berseri, serta bibirnya menguntum senyum sebaik sahaja jenazahnya selesai dimandikan dan dikafankan. Apakah betul kata orang, mungkin dia telah nampak dimana tempatnya nanti...

Akhirnya jenazah Apak selamat disolatkan di Masjid Bidor sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Sebak dadaku bila melihat Apak buat kali terakhir, terbaring mengiring mengadap kiblat, di dalam liang-lahat. Luluh jiwaku tatkala melihat deburan tanah menutupi jenazah Apak. Pilunya hati bila mendengar talkin dibacakan. Berat sungguh rasa hati hendak meninggalkan Apak sendirian. Namun, itulah suratan. Tiap yang hidup pasti akan mati juga. Sesungguhnya, tiada yang kekal melainkan Allah S.W.T.

Aku pasrah. Namun kehilangan ini amat terasa. Jiwaku kosong. Kini tiada lagi tempat untuk mengadu. Aku agak terkilan kerana aku tak sempat nak membalas jasa Apak. Waktu itu, aku baru saja mula bekerja, tak sampaipun 2 bulan. Aku juga terkilan kerana jauh disudut hatiku, aku mahu Apak yang menikahkan aku nanti seperti kakak2 ku yang lain. Yang lebih menyedihkan, Apak tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen yang bakal berlangsung pada bulan Oktober. Namun aku tahu Apak memang berbangga kerana aku telah berjaya mengenggam segulung diploma.

Bagiku, sesungguhnya Apak tersangat istimewa. Sifatnya yang tegas tapi lembut, amat pengasih dan penyabar serta suka berkorban memang tak dapat ku lupakan sampai bila-bila. Dia seorang yang warak, gemar berjemaah di masjid terutamanya pada waktu Subuh. Masih terdengar-dengar bunyi ketukan kunci kereta pada kaca 'sliding door' bila dia balik dari masjid. Bila pintu dibukakan, dia akan tersenyum dengan kopiah putih dan kain serban menutupi kepala seperti orang2 perempuan memakai selindang.

Apak seorang pendidik yang gigih, dari seorang guru biasa, dia dinaikkan pangkat sebagai gurubesar, seterusnya menjadi Pegawai Pendidikan Daerah sebelum dia pencen. Lebih membanggakan dia pernah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Perak (untuk tahun 1987 kalau tak silap aku) kerana jasa-jasanya dan pengorbanannya yang banyak di dalam bidang pendidikan.

Sayangnya, Apak tidak lama menikmati masa pencennya kerana beliau meninggal dunia kira-kira 8 bulan selepas pencen. Namun dalam masa yang pendek itu, beliau sempat membawa emak dan aku menunaikan umrah dengan duit gratuitinya. Itupun kerana aku sorang saja yang belum berkahwin dan mereka pula memerlukan seorang jurubahasa ketika di negara orang. Sebelum ini Apak dan Mak telahpun menunaikan fardu haji tetapi pada waktu itu mereka tidak dapat mencium Hajarul Aswad. Alhamdullillah kami berjaya menunaikan umrah beberapa kali serta dapat mencium batu dari syurga itu sebanyak 2 kali seorang. Wanginya tidak terkira. Walaupun ada orang berkata, bahawa wangian itu sebenarnya disebabkan minyak atar yang disapukan oleh Pak Arab tetapi kami tak kisah.

Hubungan aku dengan Apak memang rapat. Apak pergi menunaikan fardu haji ketika aku di asrama SMS Taiping. Apa yang agak melucukan tatkala kawan-kawanku yang lain(i.e.orang KL terutamanya) mendapat surat dari bapa mereka di dalam bahasa Inggeris, aku pula mendapat surat dalam tulisan jawi. Terkial-kial aku nak menghabiskan surat itu. Bukannya apa, agak sukar nak baca tulisan jawi yang ditulis tangan.

Apak memang nampak garang tetapi sebenarnya dia amat baik hati. Kami anak-anaknyapun ada yang kena rotan. Tapi mungkin Abang Cher (abang kedua) yang agak nakal, tak dapat melupakan peristiwa dia diikat pada tiang katil. Tak ingat pulak atas kes apa sebab masa tu aku kecil lagi.

Walaubagaimanapun aku amat kagum melihat Apak begitu menyayangi emak hinggalah ke akhir hayatnya. Walaupun emak seorang yang cemburu namun sedikitpun Arwah Apak tak kisah walaupun pergerakannya sebagai seorang pegawai pendidikan yang perlu ke sana-sini agak terbatas. Segala kemahuan Mak pasti akan dituruti. Dia juga amat sabar dengan kerenah emak dan dia juga setia memujuk emak yang suka merajuk. Aku rasa kalau orang lain, entahlah...Mungkin betul orang kata cemburu itu tandanya sayang!!

Lagi satu yang amat mengkagumkan aku, Apak amat menghargai hubungan kekeluargaan. Kalau balik ke kampungnya di Kampung Gajah, kami mesti singgah rumah saudara-maranya. Aku selalu jugak mengikut dia menziarahi kubur Opah dan Tok, baca yasin dan berdoa. Sayang... kami anak2nya tak mampu buat begitu.

Sesuatu yang paling sukar dilupai, Apak seolah-olah tahu akan saat kematiannya semakin tiba sehingga sempat meninggalkan sedikit pesanan buat kami secara bertulis di kotak tisu. Perkara ini hanya kami sedari selepas 2-3 hari selepas pengkebumiannya.

Antara pesanannya, "Jaga Mak baik-baik, jangan bergaduh adik beradik. Harta yang sekangkang kera dibahagikan ikut cara faraid."

Sampai sekarang aku masih mengingati pesanannya itu. Aku amat bersyukur kerana suamiku mengizinkan emak untuk tinggal bersama kami. Dan emakpun nampaknya selesa tinggal di sini, namun aku tak akan menghalang emak untuk pergi ke rumah adik beradik yang lain.

Cuma hingga kini aku masih merahsiakan sesuatu. Mungkin ada baiknya aku menceritakannya sekarang supaya kita mendapat sedikit iktibar dari peristiwa ini. Sebenarnya, malam Isnin sebelum aku balik bertugas di Ipoh, Apak telah meminta aku mengurutnya. Walaupun Kak Zah (kakak kedua) ada dirumah tetapi apak tak mahu menganggunya kerana dia ada anak kecil dan Mak pula kelihatan begitu lena tidurnya.

Sambil aku memicitnya, Apak telah meluahkan rasa terkilannya. Betapa dia mengharapkan anak-cucunya yang lain akan pulang menziarahinya pada cuti hujung minggu itu sehingga dia sanggup minta cuti dari doktor untuk keluar wad dan balik sendiri dengan menaiki bas ke Bidor. Tapi sayang, abang2 dan kakak2ku agak sibuk, atau mungkin mereka menganggap sakit apak tak seteruk mana. Hanya bila Apak masuk semula ke hospital pada hari Isnin itu dan keadaannya semakin kritikal barulah mereka balik.

Itulah sedikit memori yang masih tersimpan kemas di kotak fikiranku. Sebenarnya aku ingin mengabadikan gambar apak di sini, tapi entah di mana pulak aku letakkan satu-satunya gambar yang aku simpan sejak dulu. Tak mengapalah... biarlah wajah Apak tersimpan di lubuk memoriku sampai bila2.

Kini aku berusaha menjaga emak dan juga hubungan kami adik beradik. Walaupun sekali-sekala terjadi perselisihan faham antara kami, tapi kami tetap bersatu demi menjaga hati emak. Kadang-kadang tu aku rasa amat sukar sekali tetapi inilah cabaran yang harus aku lalui.

Kesimpulannya, hargailah orang yang kita sayang sebelum kita kehilangan mereka. Cuba sedaya-upaya untuk mengambil berat tentang mereka semasa hayat mereka setakat yang mampu. Hubungi mereka sekerap yang mungkin dan ziarahilah mereka. Sesungguhnya, tiada apa yang lebih membahagiakan orang tua kita apabila melihat anak2nya di depan mata sendiri.

Untuk Apak, semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas roh Apak serta melapangkan kuburnya ketika di alam barzakh. Semoga segala pengorbanan Apak sebagai suami dan bapa yang sejati serta pengabdiannya sebagai hamba Allah yang taat dan setia akan dibalas dengan ganjaran syurga. Semoga aku dapat bertemu dengan Apak di Syurga Firdaus.


Amin Ya Rabbal 'Alamin. Alfatihah.


Ahh... rindunya aku pada 'APAK'...........................

1 comment:

pB said...

Salam


pB belum lagi merasa saat kehilangan org org yang rapat dengan pB ....

pB tak mahuuu ...
pB tahu pB bukan orang yang kuat semangat .....