Tuesday, June 23, 2009

Apak... dalam kenangan

Bulan ini semua orang bercerita tentang bapa. Di sana-sini orang menyambut hari bapa, walaupun tradisi ini adalah tradisi orang puteh namun aku rasa memang wajar kita meraikan bapa kita yang banyak berjasa kepada kita. Aku rasa walaupun mereka tidak mahukan apa-apa, sekurang-kurangnya hari itu kita dapat melakukan sesuatu sebagai tanda penghargaan kita kepadanya. Tetapi apakan daya, aku tidak berpeluang untuk menyambutnya kerana bapaku telahpun tiada.

Hari bapa tahun ini jatuh pada 21 Jun . Ketika orang ramai bergembira meraikan bapa-bapa mereka, hatiku amat tersentuh. Kenangan 21 tahun yang lalu jelas terpancar dimemori. Pada hari Selasa, 21/6/1988, Apak (panggilan ku buat bapaku) telah menghembuskan nafasnya yang akhir sejurus sebelum masuk waktu fardu subuh di Hospital Tapah disebabkan sakit jantung.

Sesungguhnya pada hari itu aku telah kehilangan satu-satunya lelaki yang amat aku kasihi. Sedihnya tidak terkira, namun aku redha. Syukur kerana Allah permudahkan segala 'urusan' Apak. Waktu Subuh itu semua anak-menantu (kecuali seorang abang iparku yang keluar bertabligh) berada di sisi Apak disaat terakhirnya. Kami sampai ketika doktor sibuk melakukan CPR. Emak tak sanggup melihat Apak diperlakukan begitu. Aku terus menemani mak membaca Yassin dalam sedu-sedan. Akhirnya bila tiba saatnya, Apak sempat mengangkat takbir dan qiam dengan sendirinya. Innalillahiwainnailaihiraji'un....

Alhamdullillah semuanya berjalan lancar. Jenazah tiba dirumah pada pukul 7.30 pagi. Ramainya saudara-mara, sahabat-handai dan anak murid Apak, jauh dan dekat, datang menziarahi. Semuanya agak terkejut, terutamanya bagi mereka yang tidak tahu Apak ditahan di wad 4 - 5 hari sebelum itu. Memang tak dinafikan dalam keadaan yang tidak sihat itu, Apak masih lagi memandu kereta menghantar aku ke stesen teksi pada pagi Isnin, untuk pulang bekerja di Ipoh.

Jenazah Apak siap dimandikan dan dikafankan seawal jam 12 tengahari. Sehingga kini aku masih terbayang-bayang wajah Apak yang bersih berseri, serta bibirnya menguntum senyum sebaik sahaja jenazahnya selesai dimandikan dan dikafankan. Apakah betul kata orang, mungkin dia telah nampak dimana tempatnya nanti...

Akhirnya jenazah Apak selamat disolatkan di Masjid Bidor sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Sebak dadaku bila melihat Apak buat kali terakhir, terbaring mengiring mengadap kiblat, di dalam liang-lahat. Luluh jiwaku tatkala melihat deburan tanah menutupi jenazah Apak. Pilunya hati bila mendengar talkin dibacakan. Berat sungguh rasa hati hendak meninggalkan Apak sendirian. Namun, itulah suratan. Tiap yang hidup pasti akan mati juga. Sesungguhnya, tiada yang kekal melainkan Allah S.W.T.

Aku pasrah. Namun kehilangan ini amat terasa. Jiwaku kosong. Kini tiada lagi tempat untuk mengadu. Aku agak terkilan kerana aku tak sempat nak membalas jasa Apak. Waktu itu, aku baru saja mula bekerja, tak sampaipun 2 bulan. Aku juga terkilan kerana jauh disudut hatiku, aku mahu Apak yang menikahkan aku nanti seperti kakak2 ku yang lain. Yang lebih menyedihkan, Apak tidak sempat menghadiri majlis konvokesyen yang bakal berlangsung pada bulan Oktober. Namun aku tahu Apak memang berbangga kerana aku telah berjaya mengenggam segulung diploma.

Bagiku, sesungguhnya Apak tersangat istimewa. Sifatnya yang tegas tapi lembut, amat pengasih dan penyabar serta suka berkorban memang tak dapat ku lupakan sampai bila-bila. Dia seorang yang warak, gemar berjemaah di masjid terutamanya pada waktu Subuh. Masih terdengar-dengar bunyi ketukan kunci kereta pada kaca 'sliding door' bila dia balik dari masjid. Bila pintu dibukakan, dia akan tersenyum dengan kopiah putih dan kain serban menutupi kepala seperti orang2 perempuan memakai selindang.

Apak seorang pendidik yang gigih, dari seorang guru biasa, dia dinaikkan pangkat sebagai gurubesar, seterusnya menjadi Pegawai Pendidikan Daerah sebelum dia pencen. Lebih membanggakan dia pernah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Perak (untuk tahun 1987 kalau tak silap aku) kerana jasa-jasanya dan pengorbanannya yang banyak di dalam bidang pendidikan.

Sayangnya, Apak tidak lama menikmati masa pencennya kerana beliau meninggal dunia kira-kira 8 bulan selepas pencen. Namun dalam masa yang pendek itu, beliau sempat membawa emak dan aku menunaikan umrah dengan duit gratuitinya. Itupun kerana aku sorang saja yang belum berkahwin dan mereka pula memerlukan seorang jurubahasa ketika di negara orang. Sebelum ini Apak dan Mak telahpun menunaikan fardu haji tetapi pada waktu itu mereka tidak dapat mencium Hajarul Aswad. Alhamdullillah kami berjaya menunaikan umrah beberapa kali serta dapat mencium batu dari syurga itu sebanyak 2 kali seorang. Wanginya tidak terkira. Walaupun ada orang berkata, bahawa wangian itu sebenarnya disebabkan minyak atar yang disapukan oleh Pak Arab tetapi kami tak kisah.

Hubungan aku dengan Apak memang rapat. Apak pergi menunaikan fardu haji ketika aku di asrama SMS Taiping. Apa yang agak melucukan tatkala kawan-kawanku yang lain(i.e.orang KL terutamanya) mendapat surat dari bapa mereka di dalam bahasa Inggeris, aku pula mendapat surat dalam tulisan jawi. Terkial-kial aku nak menghabiskan surat itu. Bukannya apa, agak sukar nak baca tulisan jawi yang ditulis tangan.

Apak memang nampak garang tetapi sebenarnya dia amat baik hati. Kami anak-anaknyapun ada yang kena rotan. Tapi mungkin Abang Cher (abang kedua) yang agak nakal, tak dapat melupakan peristiwa dia diikat pada tiang katil. Tak ingat pulak atas kes apa sebab masa tu aku kecil lagi.

Walaubagaimanapun aku amat kagum melihat Apak begitu menyayangi emak hinggalah ke akhir hayatnya. Walaupun emak seorang yang cemburu namun sedikitpun Arwah Apak tak kisah walaupun pergerakannya sebagai seorang pegawai pendidikan yang perlu ke sana-sini agak terbatas. Segala kemahuan Mak pasti akan dituruti. Dia juga amat sabar dengan kerenah emak dan dia juga setia memujuk emak yang suka merajuk. Aku rasa kalau orang lain, entahlah...Mungkin betul orang kata cemburu itu tandanya sayang!!

Lagi satu yang amat mengkagumkan aku, Apak amat menghargai hubungan kekeluargaan. Kalau balik ke kampungnya di Kampung Gajah, kami mesti singgah rumah saudara-maranya. Aku selalu jugak mengikut dia menziarahi kubur Opah dan Tok, baca yasin dan berdoa. Sayang... kami anak2nya tak mampu buat begitu.

Sesuatu yang paling sukar dilupai, Apak seolah-olah tahu akan saat kematiannya semakin tiba sehingga sempat meninggalkan sedikit pesanan buat kami secara bertulis di kotak tisu. Perkara ini hanya kami sedari selepas 2-3 hari selepas pengkebumiannya.

Antara pesanannya, "Jaga Mak baik-baik, jangan bergaduh adik beradik. Harta yang sekangkang kera dibahagikan ikut cara faraid."

Sampai sekarang aku masih mengingati pesanannya itu. Aku amat bersyukur kerana suamiku mengizinkan emak untuk tinggal bersama kami. Dan emakpun nampaknya selesa tinggal di sini, namun aku tak akan menghalang emak untuk pergi ke rumah adik beradik yang lain.

Cuma hingga kini aku masih merahsiakan sesuatu. Mungkin ada baiknya aku menceritakannya sekarang supaya kita mendapat sedikit iktibar dari peristiwa ini. Sebenarnya, malam Isnin sebelum aku balik bertugas di Ipoh, Apak telah meminta aku mengurutnya. Walaupun Kak Zah (kakak kedua) ada dirumah tetapi apak tak mahu menganggunya kerana dia ada anak kecil dan Mak pula kelihatan begitu lena tidurnya.

Sambil aku memicitnya, Apak telah meluahkan rasa terkilannya. Betapa dia mengharapkan anak-cucunya yang lain akan pulang menziarahinya pada cuti hujung minggu itu sehingga dia sanggup minta cuti dari doktor untuk keluar wad dan balik sendiri dengan menaiki bas ke Bidor. Tapi sayang, abang2 dan kakak2ku agak sibuk, atau mungkin mereka menganggap sakit apak tak seteruk mana. Hanya bila Apak masuk semula ke hospital pada hari Isnin itu dan keadaannya semakin kritikal barulah mereka balik.

Itulah sedikit memori yang masih tersimpan kemas di kotak fikiranku. Sebenarnya aku ingin mengabadikan gambar apak di sini, tapi entah di mana pulak aku letakkan satu-satunya gambar yang aku simpan sejak dulu. Tak mengapalah... biarlah wajah Apak tersimpan di lubuk memoriku sampai bila2.

Kini aku berusaha menjaga emak dan juga hubungan kami adik beradik. Walaupun sekali-sekala terjadi perselisihan faham antara kami, tapi kami tetap bersatu demi menjaga hati emak. Kadang-kadang tu aku rasa amat sukar sekali tetapi inilah cabaran yang harus aku lalui.

Kesimpulannya, hargailah orang yang kita sayang sebelum kita kehilangan mereka. Cuba sedaya-upaya untuk mengambil berat tentang mereka semasa hayat mereka setakat yang mampu. Hubungi mereka sekerap yang mungkin dan ziarahilah mereka. Sesungguhnya, tiada apa yang lebih membahagiakan orang tua kita apabila melihat anak2nya di depan mata sendiri.

Untuk Apak, semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas roh Apak serta melapangkan kuburnya ketika di alam barzakh. Semoga segala pengorbanan Apak sebagai suami dan bapa yang sejati serta pengabdiannya sebagai hamba Allah yang taat dan setia akan dibalas dengan ganjaran syurga. Semoga aku dapat bertemu dengan Apak di Syurga Firdaus.


Amin Ya Rabbal 'Alamin. Alfatihah.


Ahh... rindunya aku pada 'APAK'...........................

Saturday, June 13, 2009

CUTI...CUTI MALAYSIA

Alhamdullillah, kami telah selamat bercuti di Penang minggu lepas. Walaupun agak kelam-kabut kerana 'last minute planning' tapi yang penting anak-anakku 'gumbira'. Bayangkanlah untuk 3 hari itu kami terpaksa berpindah-randah dari satu hotel ke hotel yang lain kerana semua hotel full house disebabkan cuti sekolah.

1st day, kami menginap di Naza hotel. Kami amat selesa di sini almaklumla hotel orang kita, jadi tak la ragu-ragu. Pantainya pun cantik walaupun airnya agak kotor. Pemandangan sekitarnya pun agak menarik. Banyak pencakar langit yang sedang dalam pembinaan. Walaubagaimanpun suasananya amat mendamaikan tetap macam 5 tahun dulu. Walaupun kawasan ini pernah di landa tsunami, namun tak banyak perubahan yang dapat dilihat. Dah lama sangatpun kejadian tu berlaku.

Kami sempat melawat Masjid Terapung yang amat cantik. Namun yang menariknya, ditepinya ada pangsapuri yang agak moden. Kalau tak silap aku, inilah penempatan semula mangsa tsunami dulu. Wow, rasanya inilah perkampungan nelayan yang paling canggih dalam Malaysia ni.

Hari kedua, kami duduk kat hotel orang puteh kut... Evergreen... hotel kat Gurney Drive. Hotelnya memang 4-5 bintang tapi yang tak bestnya tandasnya tak islamik...takde paipla. Ada bible pulak tu. Kali ini kami dapat bilik yang mengadap ke arah pulau yang mula dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit.


Tapi peristiwa yang tak boleh dilupakan bila kami tersangkut dalam trafic jem masa nak pergi Botanical garden...tiba-tiba baru Ayah tersedar yang tangki minyak dah kosong betul. Aduh masa tu suspense betul. Kebetulan memang jem teruk sebab ada pesta bunga kat sana. Sampai kat taman bunga tu pun dah lewat dan baby pulak tidur jadi kami tak turunpun. Masa nak balik kami sekali lagi terperangkap dalam kesesakan traffic. Mengelabah dibuatnya, apatah lagi tak tau di mana stesen minyak yang terdekat. Kak Yong sempat bertanya pada driver teksi di depan kami, tapi info yang diberi tidak dapat membantu. Apalagi...hentam sajalah.


Alhamdullillah akhirnya kami menemui stesen minyak. Selepas tu kami terus ke shopping kompleks yang baru i.e. Queensbay yang terletak dekat Bayan Baru. Bukannya apa, senang nak cari tempat makan kat shopping kompleks ni.

Memang kami tak banyak melawat tempat-tempat menarik di Penang disebabkan kesuntukan masa. Lebih-lebih lagi Naeem sekarang tengah lasak. Kadang-kadang dia tak nak didukung tapi bila dilepaskan tak larat pulak nak mengejarnya. Orang pun ramai, semua tempat sesak. Bila kemahuannya tak diikut, dia mula meragam. Aduh tensionnya... jadi nak tak nak terpaksalah balik ke hotel.

Hari ke 3, kami plan nak singgah Taiping. Cadangnya nak singgah di zoo Taiping bagi memenuhi permintaan Pina. Namun aku kesian pada dia sebab tak banyak memori yang bagus tentang Penang. Sebelum tu, dahlah tak jadi pergi Waterfall kat Botanical garden, jadi sebelum balik kami pergi Taman Rama-rama. Semua orang nampak ceria. Kak Yong dengan Ayah sibuk dengan kamera. Kami yang lain-lain dengan rela hati jadi model. Naeem kelihatan seronok sangat, selamba je pegang rama-rama kat situ sampai ada yang 'kolu' di tangannya.


Masa pergi kami naik jambatan, balik pulak kami naik feri. Pina macam cuak aje. Angahpun sama, sampai tak nak keluar dari kereta. Naeem tetap ceria, sempat posing lagi. Kak Yong terus khusyuk dengan kameranya.


Perjalanan ke Taiping agak slow kerana banyak kereta di lebuhraya. Semua anak-anakku terlena, keletihan agaknya. Celik mata, diaorang dah sampai Taiping. Kami redah saja ke Taiping Golf Resort, tempat tu agak jauh dari pekan Taiping, so kami jangka tentu masih ada bilik. Alhamdulillah kami dapat bilik berkembar.

Esoknya baru kami melawat Zoo Taiping. Masa naik train mengelilingi Zoo, Naeem meragam sikit, masih keletihan agaknya. Dia tak berapa hiraukan binatang di situ. Dia asyik nak buka 'bekalannya'. Lepas turun keretapi barulah dia ceria berjalan ke sana ke mari. Aduh.. penatnya mengejar dia dalam cuaca yang panas terik. Nasib baikla Kak Yong sanggup melayan kerenahnya dan Pina.

Walaupun keletihan semua orang kelihatan puashati.
Haa aku nak cerita sikit pasal makan. Seperti yang dijangka, servisnya slow. Bayangkan kami terpaksa menunggu hampir sejam untuk dinner sebelum makanan tiba walaupun orang tak ramai kat restoren tu. Kami boleh memilih 'fast food' cuma kami maukan kelainan.

Sebelum balik kami singgah di satu restoren yang agak canggih...ala..ala sesetengah restoren'mahal' kat Shah Alam. Lagi sekali kami terkena, makanan tak sampai-sampai, minuman pun dah habis sebab dah dekat sejam menunggu. Tapi yang menghairankan pelanggan yang baru masuk dah dapat makanan yang diorder. Bila suamiku bertanya dikaunter, rupa-rupanya order kami tak di punch di dalam system. Masa tu ayah tunjukkkan kuasanya..cancel semua order dan blah walaupun sebenarnya kami kelaparan.


Singgah di hentian rehat, tak dapat parking walaupun dah pukul 3 petang. Cuma Ayah dan Angah aje yang keluar. Rupa-rupanya makanan pun dah habis, lauk-pauk tak berapa ada. Pelayan2 kedaipun macam tension, nak tak nak melayan. Untung sudah cover kut. Sudahnya kami tapau KFC kat Bidor sebelum balik rumah Mak. Mujur Ummi dah masak nasi, lega rasanya dapat makan tengahari walaupun dah pukul 5 petang.


Itulah cerita perjalanan kami. Yang penting semua orang gumbira walaupun agak keletihan. Aku sendiri terpaksa extend cuti aku satu hari lagi. Alhamdullilah kami dapat menghabiskan masa kami dengan berkualiti. Semoga semua orang telah dapat mereleasekan tension masing2. Harap Kak Yong dengan Angah boleh fokus dengan PMR dan UPSR mereka selepas ini. Aku dan suami kini barulah rasa lebih bersemangat untuk bekerja selepas break sekejap ini.


Sesungguh keletihan fizikal tak sehebat keletihan mental. Fikiran yang berserabut akan memberi impak tidak baik. Oleh itu, ambillah masa untuk diri sendiri. Janganlah terlalu workaholic. Fikirkanlah juga tentang orang2 di sekeliling kita. Sedangkan mesin juga akan rosak bila digunakan berterusan. S
esungguhnya bercuti bersama keluarga merupakan teraphy yang paling mujarab di samping dapat mengeratkan pertalian keluarga.

Nota: Sila lihat gambar percutian di blog Dhania aka nia