Thursday, July 2, 2009

REUNION...

Bila bercakap tentang reunion, aku selalu berdebar. Reunion ni selalu dibuat setelah beberapa lama terpisah. Memang bagus di adakan reunion ini supaya ikatan persahabatan dapat terus dijalinkan. Bak kata Abang Aziz Desa dalam segmen Jejak Kasih yang popular suatu ketika dahulu. "Yang jauh kita dekatkan... Yang dekat kita mesra-mesrakan...Yang mesra kita serasi-serasikan". Chewahhh.

Sebenarnya aku telah beberapa kali diajak untuk reunion kecil-kecilan untuk kelas DIA ITM Manjung (Pioneer 1985 - 1987). Namun faktor masa yang kurang sesuai dan lokasi yang agak jauh , mengekang aku untuk join sekali. Almaklumlah, selalunya dia orang ajak masa dinner dan kat KL pulak tu. Jadi camno den nak poii (loghat nogoghi lah pulak). Ada sekali tu, masa aku dalam pantang anak ke empat, jadi memang confirm aku tak boleh pergi. Nak tak nak... kena tahan telinga bila kena kutuk dengan kengkawan.

Sebenarnya memang aku teringin nak jumpa class-mate lama ni. Aku memang punya beberapa set kengkawan yang berlainan. Firstly mestilah kawan sepersekolahan di Bidor dari darjah satu sampai tingkatan 3. Group ni memang aku dah lost contact langsung. Balik kampungpun jarang jumpa diaorang. Kalo terjumpapun masa pergi sembahyang raya aje.

Group yang kedua, kengkawan di SMS Taiping. Group ni memang aku paling segan nak reunion balik. Adala sekali tu dapat jemputan reunion di hotel Pan-Pacific, KL. Memang aku tak pergi, almaklumlah...siapalah aku ini jika dibandingkan dengan diaorang semua. Aku masih lagi orang biasa-biasa sedangkan diaorang dah jadi orang beso-beso kerana kebanyakan mereka further studies kat luar negara. Setakat ini aku masih menghubungi 2-3 orang rakan yang memang betul-betul kamcheng dengan ku dulu.

Group ke tiga , kawan-kawan aku di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Walaupun aku tak lama di sini, tapi aku mendapat kawan-kawan yang akrab. Kami dah macam adik beradik. Sungguhpun kami pernah terputus hubungan satu ketika dulu tetapi Alhamdulillah kami reunite kembali di rumah Abang Wan. Cuma agak menyedihkan kami baru saja kehilangan Uteh dalam kemalangan ngeri di Madinah pada bulan April yang lalu. Entah bila kami boleh berkumpul semula.

Group yang keempat pula adalah kawan-kawan aku di ITM Perak, Sri Manjung (1985 -1987) Di sini kami merupakan pioneer di kampus yang cuma sederetan rumah kedai. Tingkat atas adalah hostel para siswi sementara tingkat bawah merupakan bilik kuliah. Masa tu cuma ada 5 course iaitu DIA, DPA, DIB, DBS dan DSS dengan anggaran 200 orang pelajar. Para siswa pulak ditempatkan di deretan rumah teres tak jauh dari situ. Oleh kerana kampus (kononnya) ni kecik, jadi...InsyaAllah boleh kenal rupa walaupun tak berapa tau nama.

Dua bulan sudah aku dijemput join yahoo group ITM Manjung pioneer di internet. Masa aku join tu tak berapa meriah sangat. Tapi laa ni group ni bertambah besar. Rasanya dah ada 60 orang member kut. Dalam satu hari biasanya adalah 40-50 email. Cadangnya kami nak buat reunion besar-besaran lepas raya nanti. Terima kasihlah pada commitee bidan terjun yang nampaknya begitu berkobar-kobar untuk menjalankan misi tersebut.

Walaubagaimanapun esok (4 July) akan diadakan reunion kecil-kecilan lagi disebuah restoran di Wangsa Maju. Tadi baru saja dimaklumkan bahawa organizer dah panik sikit sebab jumlah yang nak datang lebih 50 orang. Tak sangka pulak dapat sambutan yang menggalakkan dan tentunya kami teruja nak jumpa kengkawan lama setelah 23 tahun terpisah. Mesti banyak cerita dan macam-macam gaya.

Sebenarnya aku tengah berdebar-debar...malu ada...rendah diripun ada, takut kengkawan tak kenal aku dah. Lagipun dari cerita2 di dalam group tu Aku dapat agak, ramai kengkawan yang dah berjaya. Ada yang dah ada PHD, ada yang dah jadi usahawan, ada yang bukak firma accauntancy sendiri, dan macam-macam lagi sedangkan aku masih biasa-biasa saja. Segannya aku dengan diaorang.

Namun itulah aku, seorang yang pemalu dan memang low profile sejak dulu. Sememangnya aku tak bercita-cita tinggi. Yang penting aku bahagia dikelilingi oleh 5 buah hati yang tercinta dalam sebuah mahligai yang dibina hampir 20 tahun lamanya. Aku selesa berkerja hampir 19 tahun lamanya di tempat kerjaku sekarang. Aku bersyukur kerana sudah punya rumah dan kereta sendiri (walaupun masih berhutang dengan bank). Aku lega kerana dapat mencurahkan bakti kepada ibu yang telah tua. Dalam usia 43 tahun ini, kesihatan aku masih terkawal tidak menghidapi sebarang penyakit kronik terutamanya penyakit 3 serangkai. Cuma sesekali diserang semput dan alahan.

Pendekata aku amat mensyukuri rahmat yang dikurniakan Allah kepadaku. Tiap orang bebas mencari kepuasan mereka sendiri dan aku amat berpuas hati dengan keadaanku sekarang. Cuma harapanku, aku dan suami dizinkan untuk menunaikan haji di Makkah suatu ketika nanti. Dan sekarang adalah lebih penting bagiku untuk memberi tumpuan kepada 4 orang cahayamata ku agar mereka menjadi insan yang sempurna baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah merestui cita-cita aku ini.

Amin Ya Rabbal A'lamin

No comments: