Sunday, July 12, 2009

REUNION yang MENJADI

Alhamdullilah reunion pada 4 Julai 2009 dapat mengumpulkan lebihkurang 43 orang pioneer ITM Perak dari 5 kursus iaitu DIA, DBS, DIB, DSS & DPA. Kalau pada blog terdahulu, aku telah menceritakan tentang betapa berdebarnya aku untuk bertemu semula dengan kawan-kawan sekian lama terpisah, namun kata-kata Aby memberi aku semangat untuk turut serta. Akhirnya kami berkumpul semula di Aichu Wangsa Maju dengan pelbagai rupa dan anekaragam.

Setelah 23 tahun terpisah, hampir semuanya telah berkeluarga maka tentulah penampilanpun berubah seiring dengan masa. Yang dulunya kurus cikeding dah terlebih berisi. Yang dulu macho dengan rambut yang pelbagai gaya dah semakin sulah dahinya, ada juga yang dah ala-ala 'mat saleh' gitu. Yang dulunya handsome bermisai sampai digelar Tom Selleck dah tak simpan misai tetapi yang dulunya dagunya bersih licin dah berjanggut sampai ke dada...ikut sunnah katanya. Tetapi yang untungnya orang perempuan kerana tak banyak sangat berbeza kecuali dari segi saiz kerana segalanya terrahsia dibalik tudung. Namun begitu, aku tabik spring kepada yang masih maintain macam dulu.

Sesungguhnya pertemuan kali ini memang lain dari yang lain. Mereka yang dulunya tak pernah bertegur sapa atau malu-malu kucing sudah boleh berbicara dengan agak mesra, tak kira lelaki mahupun perempuan biarpun dari kursus yang berlainan. Nampaknya masa telah mendewasakan kita dan mungkin juga alam pekerjaan telah memudahkan kita untuk berinteraksi dengan orang lain tanpa apa-apa halangan. Ataupun mungkin juga perbualan di alam siber sedikit sebanyak telah mewujudkan sedikit kemesraan.

Suasana begitu ceria dan meriah, apalagi bila semua orang teringat kisah lama yang terus menjadi nostalgia yang mungkin tidak dapat dilupakan. Banyak juga rahsia yang terbongkar. Tak kurang juga yang saling bertukar maklumat semasa untuk tambah 'networking' katanya.

Memanglah masa 3 jam yang diperuntukkan amatlah tidak mencukupi. Namun pertemuan ini merupakan satu detik permulaan yang dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan kami kerana kami merupakan pioneer yang sama-sama menyimpan kenangan pahit dan lucu kerana di ragging untuk menyapu jalan di tengah malam buta, pukul 2-3 pagi tak silap aku. Itulah kenangan terindah di minggu pertama kami menjejakkan kami di kampus ini.

Sesungguhnya kami berharap dapat berkumpul semula dalam masa yang terdekat ini dan kami sedang berusaha untuk mengumpulkan lebih ramai kawan-kawan sekampus yang kini berada diserata Malaysia ini. Ada juga yang bercadang untuk menubuhkan koperasi Satu idea yang bagus, apatahlagi ramai yang dah menjadi orang bijak pandai serta mempunyai kedudukan yang kukuh. Semoga Allah merestui usaha kami ini untuk mengeratkan silaturahim antara kami.

Amin..Ya Rabbal A'lamin.

No comments: