Saturday, September 26, 2009

Hari raya yang meriah


Hari ini 26 Sep 2009 bersamaaan 7 Syawal 1430 Hijrah. Mungkin dek kerana sibuk menziarahi serta menyambut kedatangan saudara-mara dan sahabat handai di kampung sehingga tak sedar masa berlalu begitu pantas. Alamak, aku masih belum memulakan puasa sunat 6 hari di bulan yang mulia ini sedangkan Syawal telah menginjak 1/4 bulan.

Sesungguhnya hari raya kali ini memang meriah. Pertama kali pada hari raya yang kedua semua 27 orang cucu-cucu Mak berkumpul. Sebenarnya agak sukar untuk mengumpulkan semuanya sekali dalam satu waktu kerana kesibukan masing-masing. Apa lagi sakan mereka bergambo, namun masih tak dapat mengumpulkan semuanya pada waktu sesi bergambo itu, malah nak ambil gambar kami adik beradikpun tak sempat kerana tetamu yang datang silih berganti. Mungkin kerana mereka ingin menziarahi emak yang jarang berada di kampung kerana kini Mak menetap bersama kami di Shah Alam.


Sememangnya bulan ini bulan untuk mengeratkan silaturrahim. Hari raya telah menemukan semula kita dengan saudara-mara yang lama tak jumpa. Sayang sekali, aku tak ketemu dengan rakan-rakan sepersekolahanku walaupun aku kerap keluar membeli barang keperluan di pekan Bidor.

Sedikit aku kesalkan kerana Masjid Bidor yang selalu menemukan aku dengan rakan taulanku masih dalam pengubahsuaian sehingga keluarga kami terpaksa memilih alternatif lain untuk besolat sunat hari raya Aidil Fitri di Sungkai mahupun Jeram Mengkuang.

Sesungguhnya hari raya kali ini amat meriah sekali. Riuh-rendah rumah emak setelah beberapa tahun ditinggalkan sepi tak berpenghuni. Mujur Kak Chik kembali menetap disana bermula pada awal tahun ini. Harapanku agar Mak gembira biarpun dia nampak keletihan lantaran dirinya yang semakin uzur. Kami sama-sama bergotong-royong menyediakan juadah hari raya dan Mak cuma menjadi penyelia sahaja.



Rasanya masih belum terlewat untuk mengucapkan Eid Mubarak kepada semua yang membaca blog saya ini. Semoga Allah memberkati Ramadhan kita yang telah berlalu dan juga Syawal yang telah menjelma.

Amin Ya Rabbal A'lamin.

No comments: