Monday, September 7, 2009

UPSR...akhirnya menjelma juga


Esok, 8/9/2009 sehinggalah 10/09/2009, adalah hari-hari yang mendebarkan buat kami sekeluarga terutamanya Dalila @ Ela kerana dia akan menghadapi peperiksaan UPSR. Tak dinafikan dia diantara calon harapan sekolah untuk mendapat 5A.

Memang aku akui Ela merupakan anak yang cerdas sejak dari kecil lagi namun sikapnya yang pemalu dan low profilenya menyebabkan dia agak tidak menonjol diawal 5 tahun persekolahannya. Walaubagaimanapun dia mula diberi kepercayaan menjadi pengawas oleh guru-gurunya apabila dia melangkah ke tahun 6 dan khabarnya dia juga memegang beberapa jawatan penting bagi persatuan-persatuan yang dianggotainya.

Sebagai ibu yang yang bekerja, agak sukar untuk aku untuk memastikan anak-anakku belajar di rumah, jadi aku menghantar Ela dan Nia (Dhania) ke kelas tuisyen. Setidak-tidaknya dengan menghadiri kelas tuisyen tersebut, mereka akan secara tak langsung mengulang kaji pelajaran mereka kerana dari apa yang aku perhatikan bila di rumah mereka asyik menonton TV dan bermain komputer selain daripada ber'sms' dengan kawan-kawan mereka.

Itulah cabaran masakini yang amat sukar di atasi. Kadang-kadang serba salah dibuatnya. Tak diberi handphone susah juga nak hubungi mereka bila mereka ke tempat tuisyen mahupun ke tempat lain. Bila tak dibagi menonton TV, kata mereka, itulah cara mereka untuk melepaskan tension selepas seharian belajar. Tak diberi bermain komputer, takut mereka ketinggalan pula kerana banyak maklumat yang boleh diperolehi di internet. Malah banyak folio yang perlu disiapkan,tentunya memerlukan bantuan komputer. Namun kadang-kadang sakit hati juga bila komputer itu disalahgunakan untuk ber'chatting' dengan kawan-kawan dan telefon bimbit pula disalahgunakan untuk berbalas SMS pulak.

Walau apapun Mak harap Ela dan Nia tidak menghampakan harapan mak dan ayah. Seperti apa yang kami katakan, kami telah berusaha sedaya upaya kami untuk memberi yang terbaik untuk kamu semua dari semua segi namun anak-anak mak perlulah berusaha sendiri untuk mencapai keputusan yang diidamkan. Mak harap anak-anak mak akan faham kenapa kadang-kadang emak dan ayah perlu bertegas dalam beberapa perkara.

Mak juga berharap agar Dalila akan tenang untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Berusahalah untuk menjawap soalan sebaik mungkin dan keputusannya kita serahkan kepada Allah S.W.T. Semoga dengan iringan doa Mak dan ayah yang tidak pernah putus-putus, Ela akan lebih berkeyakinan untuk merealisasikan cita-cita Angah sendiri untuk menncapai 5A dalam peperiksaan UPSR.

Terus-terang Mak katakan Mak agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi janji Mak untuk bercuti semasa Angah periksa kerana tuntutan kerja yang tidak mengizinkan Mak mengotakan janji tersebut. Inilah yang dikatakan kita hanya merancang namun Allah jua yang menentukan.

Selamat menghadapi peperiksaan UPSR Ela!!!. Buangkan rasa gentar dan gelisah yang dirasakan. Fokuskan kepada soalan peperiksaan dan berikan jawapan yang 'mantop' InsyaAllah penat lelah Ela selama ini akan membuahkan kejayaan.

Ya Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Kau bantulah anakku Dalila untuk menghadapi peperiksaan UPSR dengan tenang dan yakin. Kurniakanlah ia daya ingatan yang kuat supaya dia dapat menjawap soalan dengan tepat. Limpahkan rahmatMu ke atasnya dengan memberinya kesihatan yang terbaik sehingga habis hari peperiksaannya nanti.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Saturday, September 5, 2009

Selamat hari jadi Pina


Semalam adalah hari jadi Pina yang ke 7 tahun. Rasanya baru saja mendengar tangisan kelahirannya 7 tahun yang lalu dan juga rasanya masih baru lagi aku mendakapnya sambil membelai rambutnya sewaktu menyusukannya. Rupanya dah besar anak Mak.

Selamat ulang tahun sayang. Mak harap Pina jangan kecewa kerana tak dapat sambut hari jadi dengan kawan-kawan disebabkan hari jadi Pina kali ini jatuh dalam bulan puasa. Semoga acara potong kek selepas berbuka puasa di rumah Pak Uda semalam dapat mengembirakan hati Pina.

Bagiku Dafina merupakan seorang permata hati yang amat berharga. Walaupun dia seorang yang agak cerewet tetapi dia mepunyai kerekternya yang tersendiri. Dia juga seorang yang bijak, rajin dan amat perihatin. Cara pemikirannya amat advance berbanding dengan kengkawan yang seusia dengannya. Kadang-kadang agak payah untuk aku nak menjawab soalan-soalan cepuemasnya.

Sejak dari tadika lagi dia telah menunjukkan kepandaiannya. Setakat ini dia sering menjadi Top 3 di dalam kelasnya dengan perbezaan markah yang amat tipis (1 - 2 markah saja). Sekarang nipun dia telah naik AlQuran dan diwaktu lapangnya, dia amat gemar membaca buku termasuklah membaca buku Iqrak.

Alhamdullillah, mungkin ini berkat surah lukman yang selalu dibaca sepanjang kehamilan. Dan mungkin juga berkat air susu ibu. Pina memang telah menunjukkan kecerewetannya sejak dari bayi lagi. Dia tak suka minum susu dalam botol susu, walaupun susu itu adalah susu kusendiri yang telah diperah dan di bekukan. Dia lebih suka yang 'real'. Jadi dia sanggup minum air masak sementara menunggu aku balik dari tempat kerjaku. Itulah Dafina yang ku susukan penuh 2 setengah tahun. Tak dinafikan dia amat rapat dengan ku, walaupun kami sering tak sama pendapat.

Ya Allah yang Tuhanku, kau limpahkan rahmatMu ke atas anak gadisku yang comel ini. Jadikanlah dia anak yang solleh. Semoga Dafina menjadi insan yang sempurna dunia dan akhirat.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Saturday, August 22, 2009

Harapan Ramadhan

Aku amat terharu bila mendengar lagu nasyid ini. Ya sesungguhnya aku amat mengharapkan ramadhan kali ini akan lebih bermakna. Namun bolehkah aku berubah? Mampukah aku untuk memperuntukkan lebih masa ku untuk beribadat di dalam melayani kerenah si kecil yang sudah pandai memberontak.

Semalam, aku cuba bersolat terawih di rumah kerana kesihankan dia buah hatiku tetapi besar sungguh cabarannya. Tak tentu hala aku nak menghabiskan 8 rakaat kerana dia menangis melolong memanggil namaku dibawah. Nak berhenti, aku pasti tidak dapat menyambungnya kembali.

Subuh tadi aku bangun awal untuk bersolat tahajud. Belumpun habis solat hajat, dia dah bangun mencari ku. Kemudian dia masih mahu aku melayaninya, tidak mahu pada bibik. Kelam kabut aku menyediakan juadah sahur untuk familiku. Akhirnya, dia turut bersama kami bersahur dengan memakan sayur kegemarannya iaitu sayur carrot.

Sesungguhnya aku harus menangani cabaran ini dengan sebaik-baiknya. Cuma harapanku Ya Allah Kau kurniakanlah aku setinggi-tinggi kesabaran ketika menempuh dugaan yang mungkin sekelumit tetapi agak besar bagiku. Dan juga aku mohon kepadaMu agar menerima ibadatku biarpun ianya tak begitu sempurna.

Amin Ya Rabbal alamin

Sunday, August 9, 2009

Pina...oo...Pina

Minggu sudah merupakan minggu yang agak memenatkan mental dan fizikal kami sekeluarga. Hari Selasa lalu, aku sudahpun tiba di hospital DEMC kerana tiba giliran aku untuk menjaga emak yang terpaksa ditahan di wad disebabkan cirit-birit dan tekanan darah yang rendah, tiba-tiba Pina pula sakit perut yang teruk dirumah.

Ayahnya telah membawa Pina ke klinik dan doktor telah membuat surat ke hospital SMC (nama lama) kerana disyaki Pina menghidap appendiks. Aku terkedu melihat Pina terbaring mengerikut di katil di wad kecemasan sambil memegang perut dan mengerang kesakitan. Mujurlah selepas beberapa ujian dilakukan termasuk ultra sound menunjukkan tiada tanda-tanda sakit appendiks, namun Pina masih perlu dimasukkan ke wad umtuk pemerhatian.

Dalam musim H1n1 ini tentunya wad dihospital penuh. Nak tak nak kami terpaksa bersetuju untuk ditempatkan di wad VIP yang cajnya tentulah lebih dari biasa. Tak kisahlah... duit boleh dicari, yang penting kesihatan & keselesaan Pina.

Menjelang petang Pina masih cirit-birit walaupun sakit perutnya dah berkurangan. Tetapi yang merisaukan Pina terus demam, tinggi pulak suhu badannya sampai diserang lelah. Ujian darah menunjukkan ada jangkitan.

Esoknya aku lega bila pakar bedah mengesahkan Pina bukan kena appendiks. Oleh kerana dia masih demam Pina masih tidak dibenarkan keluar wad. Selama di wad Pina dimasukkan 2 botol 'air' dan antibiotik dan juga ubat demam. Namun begitu kosnya agak tinggi. Terima kasih kepada UMW yang membayar kos tersebut. Kami cuma membayar jumlah perbezaan harga bilik dengan kelayakanku.

Hujung minggu, aku pulak yang rasa nak demam, letih mental dan fizikal agaknya. Emakpun dah discaj hari Rabu lalu. Dia semakin pulih walaupun kelihatan lemah sekali. Aku bersyukur kerana Allah telah menyembuhkan sakit emak dan Pina.

Walaubagaimanapun aku rasa, menjaga Pina sakit di wad kali ini, bagaikan percutian 3 hari 2 malam di hotel 5 bintang!!!

Sunday, July 19, 2009

Selamat Ulang Tahun ... Anakku


Tarikh 18/ 7/ 1997, iaitu 12 tahun nan lalu, aku baru saja merasa lega selepas bertarung nyawa melahirkan Angah, anakku yang ke dua. Mana tidaknya..puas kami menunggu namun tiada tanda-tanda akan melahirkan sehingga melewati tarikh jangkaan kelahiran. Akhirnya dalam debaran, aku terpaksa di induce juga.

Bermula dari tengahari membawa ke malam sehinggalah pukul 9.58 malam barulah terdengar suara tangisan Angah. Alhamdulillah aku berjaya melahirkan Angah secara normal walaupun saiz nya agak besar 4.25 kg, the biggest in the family dan comel giler. Ini mungkin disebabkan kerajinan ayahnya menghantar nasi lemak tiap-tiap pagi ke ofis selepas dia sendiri bersarapan. Geramnya aku bila melihat dirinya yang debab dan putih melepak.

Syukur Alhamdullillah, Angah kini telah membesar menjadi anak manis yang pintar, amat kreatif dan agak sensitif serta sangat pemalu orangnya. Ha..ha.. mungkin dia banyak mewarisi sikapku yang suka low profile. Walaubagaimanapun dia tak sechubby dulu lagi.

Sesungguhnya Ya Allah aku amat bersyukur di atas kurniaanMu ini. Dia adalah di antara permata hati kami suami isteri. Kau bantulah kami dan berilah kami kekuatan untuk menggilap dirinya menjadi insan yang sempurna.

Kapada Nur Dalila @ Angah, mak amat berharap agar Angah dapat menjadi anak yang sollehah dan menjadi insan yang terbaik dunia dan akhirat. Jadilah diri Angah sendiri, jangan terlampau fikirkan kawan-kawan yang tak menyenangi diri kita hanya kerana kita agak pandai dari mereka. Tenangkan fikiran, jangan gelabah dan Mak percaya berkat usaha keras Angah sekarang, Angah akan dapat 5 A dalam UPSR nanti.

Mak juga berharap agar Angah dapat menerima segala teguran Mak dengan positif. Jadilah contoh yang terbaik kepada adik-adik. Sayangilah mereka sepenuh hati dan kalau nak bergurau biarlah berpada-pada. Sesungguhnya Mak amat menyayangi Angah, tiada bezanya dengan yang lain dan sekiranya diizinkan Allah, Mak ingin melihat Angah berjaya dalam hidup ini.

sELAMAT uLANG TAHUN sAYANG!!!

Sunday, July 12, 2009

REUNION yang MENJADI

Alhamdullilah reunion pada 4 Julai 2009 dapat mengumpulkan lebihkurang 43 orang pioneer ITM Perak dari 5 kursus iaitu DIA, DBS, DIB, DSS & DPA. Kalau pada blog terdahulu, aku telah menceritakan tentang betapa berdebarnya aku untuk bertemu semula dengan kawan-kawan sekian lama terpisah, namun kata-kata Aby memberi aku semangat untuk turut serta. Akhirnya kami berkumpul semula di Aichu Wangsa Maju dengan pelbagai rupa dan anekaragam.

Setelah 23 tahun terpisah, hampir semuanya telah berkeluarga maka tentulah penampilanpun berubah seiring dengan masa. Yang dulunya kurus cikeding dah terlebih berisi. Yang dulu macho dengan rambut yang pelbagai gaya dah semakin sulah dahinya, ada juga yang dah ala-ala 'mat saleh' gitu. Yang dulunya handsome bermisai sampai digelar Tom Selleck dah tak simpan misai tetapi yang dulunya dagunya bersih licin dah berjanggut sampai ke dada...ikut sunnah katanya. Tetapi yang untungnya orang perempuan kerana tak banyak sangat berbeza kecuali dari segi saiz kerana segalanya terrahsia dibalik tudung. Namun begitu, aku tabik spring kepada yang masih maintain macam dulu.

Sesungguhnya pertemuan kali ini memang lain dari yang lain. Mereka yang dulunya tak pernah bertegur sapa atau malu-malu kucing sudah boleh berbicara dengan agak mesra, tak kira lelaki mahupun perempuan biarpun dari kursus yang berlainan. Nampaknya masa telah mendewasakan kita dan mungkin juga alam pekerjaan telah memudahkan kita untuk berinteraksi dengan orang lain tanpa apa-apa halangan. Ataupun mungkin juga perbualan di alam siber sedikit sebanyak telah mewujudkan sedikit kemesraan.

Suasana begitu ceria dan meriah, apalagi bila semua orang teringat kisah lama yang terus menjadi nostalgia yang mungkin tidak dapat dilupakan. Banyak juga rahsia yang terbongkar. Tak kurang juga yang saling bertukar maklumat semasa untuk tambah 'networking' katanya.

Memanglah masa 3 jam yang diperuntukkan amatlah tidak mencukupi. Namun pertemuan ini merupakan satu detik permulaan yang dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan kami kerana kami merupakan pioneer yang sama-sama menyimpan kenangan pahit dan lucu kerana di ragging untuk menyapu jalan di tengah malam buta, pukul 2-3 pagi tak silap aku. Itulah kenangan terindah di minggu pertama kami menjejakkan kami di kampus ini.

Sesungguhnya kami berharap dapat berkumpul semula dalam masa yang terdekat ini dan kami sedang berusaha untuk mengumpulkan lebih ramai kawan-kawan sekampus yang kini berada diserata Malaysia ini. Ada juga yang bercadang untuk menubuhkan koperasi Satu idea yang bagus, apatahlagi ramai yang dah menjadi orang bijak pandai serta mempunyai kedudukan yang kukuh. Semoga Allah merestui usaha kami ini untuk mengeratkan silaturahim antara kami.

Amin..Ya Rabbal A'lamin.

Thursday, July 2, 2009

REUNION...

Bila bercakap tentang reunion, aku selalu berdebar. Reunion ni selalu dibuat setelah beberapa lama terpisah. Memang bagus di adakan reunion ini supaya ikatan persahabatan dapat terus dijalinkan. Bak kata Abang Aziz Desa dalam segmen Jejak Kasih yang popular suatu ketika dahulu. "Yang jauh kita dekatkan... Yang dekat kita mesra-mesrakan...Yang mesra kita serasi-serasikan". Chewahhh.

Sebenarnya aku telah beberapa kali diajak untuk reunion kecil-kecilan untuk kelas DIA ITM Manjung (Pioneer 1985 - 1987). Namun faktor masa yang kurang sesuai dan lokasi yang agak jauh , mengekang aku untuk join sekali. Almaklumlah, selalunya dia orang ajak masa dinner dan kat KL pulak tu. Jadi camno den nak poii (loghat nogoghi lah pulak). Ada sekali tu, masa aku dalam pantang anak ke empat, jadi memang confirm aku tak boleh pergi. Nak tak nak... kena tahan telinga bila kena kutuk dengan kengkawan.

Sebenarnya memang aku teringin nak jumpa class-mate lama ni. Aku memang punya beberapa set kengkawan yang berlainan. Firstly mestilah kawan sepersekolahan di Bidor dari darjah satu sampai tingkatan 3. Group ni memang aku dah lost contact langsung. Balik kampungpun jarang jumpa diaorang. Kalo terjumpapun masa pergi sembahyang raya aje.

Group yang kedua, kengkawan di SMS Taiping. Group ni memang aku paling segan nak reunion balik. Adala sekali tu dapat jemputan reunion di hotel Pan-Pacific, KL. Memang aku tak pergi, almaklumlah...siapalah aku ini jika dibandingkan dengan diaorang semua. Aku masih lagi orang biasa-biasa sedangkan diaorang dah jadi orang beso-beso kerana kebanyakan mereka further studies kat luar negara. Setakat ini aku masih menghubungi 2-3 orang rakan yang memang betul-betul kamcheng dengan ku dulu.

Group ke tiga , kawan-kawan aku di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Walaupun aku tak lama di sini, tapi aku mendapat kawan-kawan yang akrab. Kami dah macam adik beradik. Sungguhpun kami pernah terputus hubungan satu ketika dulu tetapi Alhamdulillah kami reunite kembali di rumah Abang Wan. Cuma agak menyedihkan kami baru saja kehilangan Uteh dalam kemalangan ngeri di Madinah pada bulan April yang lalu. Entah bila kami boleh berkumpul semula.

Group yang keempat pula adalah kawan-kawan aku di ITM Perak, Sri Manjung (1985 -1987) Di sini kami merupakan pioneer di kampus yang cuma sederetan rumah kedai. Tingkat atas adalah hostel para siswi sementara tingkat bawah merupakan bilik kuliah. Masa tu cuma ada 5 course iaitu DIA, DPA, DIB, DBS dan DSS dengan anggaran 200 orang pelajar. Para siswa pulak ditempatkan di deretan rumah teres tak jauh dari situ. Oleh kerana kampus (kononnya) ni kecik, jadi...InsyaAllah boleh kenal rupa walaupun tak berapa tau nama.

Dua bulan sudah aku dijemput join yahoo group ITM Manjung pioneer di internet. Masa aku join tu tak berapa meriah sangat. Tapi laa ni group ni bertambah besar. Rasanya dah ada 60 orang member kut. Dalam satu hari biasanya adalah 40-50 email. Cadangnya kami nak buat reunion besar-besaran lepas raya nanti. Terima kasihlah pada commitee bidan terjun yang nampaknya begitu berkobar-kobar untuk menjalankan misi tersebut.

Walaubagaimanapun esok (4 July) akan diadakan reunion kecil-kecilan lagi disebuah restoran di Wangsa Maju. Tadi baru saja dimaklumkan bahawa organizer dah panik sikit sebab jumlah yang nak datang lebih 50 orang. Tak sangka pulak dapat sambutan yang menggalakkan dan tentunya kami teruja nak jumpa kengkawan lama setelah 23 tahun terpisah. Mesti banyak cerita dan macam-macam gaya.

Sebenarnya aku tengah berdebar-debar...malu ada...rendah diripun ada, takut kengkawan tak kenal aku dah. Lagipun dari cerita2 di dalam group tu Aku dapat agak, ramai kengkawan yang dah berjaya. Ada yang dah ada PHD, ada yang dah jadi usahawan, ada yang bukak firma accauntancy sendiri, dan macam-macam lagi sedangkan aku masih biasa-biasa saja. Segannya aku dengan diaorang.

Namun itulah aku, seorang yang pemalu dan memang low profile sejak dulu. Sememangnya aku tak bercita-cita tinggi. Yang penting aku bahagia dikelilingi oleh 5 buah hati yang tercinta dalam sebuah mahligai yang dibina hampir 20 tahun lamanya. Aku selesa berkerja hampir 19 tahun lamanya di tempat kerjaku sekarang. Aku bersyukur kerana sudah punya rumah dan kereta sendiri (walaupun masih berhutang dengan bank). Aku lega kerana dapat mencurahkan bakti kepada ibu yang telah tua. Dalam usia 43 tahun ini, kesihatan aku masih terkawal tidak menghidapi sebarang penyakit kronik terutamanya penyakit 3 serangkai. Cuma sesekali diserang semput dan alahan.

Pendekata aku amat mensyukuri rahmat yang dikurniakan Allah kepadaku. Tiap orang bebas mencari kepuasan mereka sendiri dan aku amat berpuas hati dengan keadaanku sekarang. Cuma harapanku, aku dan suami dizinkan untuk menunaikan haji di Makkah suatu ketika nanti. Dan sekarang adalah lebih penting bagiku untuk memberi tumpuan kepada 4 orang cahayamata ku agar mereka menjadi insan yang sempurna baik di dunia mahupun di akhirat. Semoga Allah merestui cita-cita aku ini.

Amin Ya Rabbal A'lamin